
Presiden Umno itu berkata, beliau tidak akan membuat penjelasan lanjut di luar mahkamah berhubung tuduhan yang dikenakan terhadapnya.
“Ini bukan tempat terbaik untuk saya jelaskan, tetapi di mahkamah nanti saya akan terangkan dan apapun pendapat yang berbeza di kalangan masyarakat, saya serahkan kepada Allah untuk tentukan,” katanya selepas menemui penyokong di luar pintu pagar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta hari ini.
“Saya akan buktikan apa yang saya lakukan dengan pembinaan beberapa premis untuk syumul Islam dan maahad tahfiz, masjid, surau, rumah anak yatim dan lain-lain kebajikan untuk kebaikan kaum dan agama.
“Perkara baik yang saya buat dengan niat untuk menegakkan agama Allah, mudah-mudahan diberikan perlindungan kepada saya.”

Terdahulu, Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 pertuduhan pecah amanah, 8 pertuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.
Bagi 10 tuduhan pecah amanah itu, Zahid sebagai pemegang amanah Yayasan Akal Budi, didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan wang berjumlah RM20,833,132.99 milik yayasan itu yang diamanahkan kepadanya.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan Zahid dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin dan memerintahkannya menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Zahid meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta kira-kira 12.45 tengah hari tadi, selepas membayar ikat jamin RM1 juta.
Beliau kemudiannya menuju ke masjid berdekatan bersama penyokong untuk menunaikan solat Jumaat.