
Lebih 500 kereta dipamerkan di sebuah muzium di Komatsu, Ishikawa namun bukan itu yang jadi tarikan di sini.
Muzium kereta tetapi ia menjadi popular kerana mangkuk tandasnya.
Orang ramai yang mengunjungi muzium itu tidak terusik dengan lebih 500 kereta popular dari seluruh dunia termasuk model Rolls-Royce hinggalah Ford sebaliknya mereka lebih tertarik dengan rekaan tandas yang unik dan menarik.
Menurut laporan berita tempatan, lebih ramai orang yang mula mengunjungi muzium itu kerana tandas dan bukan hanya kereta.
Menurut seorang kakitangan, kira-kira 56 tandas dari pelbagai negara seperti Itali, Finland, Sweden, Belanda, Austria dan sebagainya ditempatkan di bangunan itu sejak 20 tahun yang lepas.
“Mungkin kerana generasi millennial yang beri perhatian kepada perkara sekeliling, ia menjadi popular sekarang,” katanya.
Tambahnya, ia bermula apabila kakitangan yang dihantar ke luar negara untuk membeli kereta turut tertarik dengan rekaan unik tandas di negara tersebut.
“Jadi mereka membuat tempahan tandas unik dari setiap negara yang dilawat,” ujar kakitangan tersebut.
Para pengunjung muzium tidak ketinggalan merakam gambar tandas yang dianggap sebagai instagram-worthy.
Muzium tersebut diuruskan oleh sebuah syarikat perkakasan perumahan di Toyama.