
Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau menang di 19 daripada 24 bahagian di Perak dengan majoriti 61% undi berbanding Azmin yang sekadar meraih 39% undi.
“Saya cukup terkejut dengan keputusan pemilihan di Perak hari ini, yang memberi lonjakan terbesar dan meletakkan saya di hadapan, mengatasi Azmin Ali.
“Terima kasih kepada pengundi-pengundi di Perak yang memberi 6,700 (61%) undi kepada saya berbanding 4,359 (39%) kepada Azmin,” tulisnya dalam Facebooknya malam ini.
Rafizi turut mengucapkan terima kasih kepada ahli PKR di Kedah, walaupun beliau hanya mendapat 3,210 (47%) undi berbanding 54% atau 3,653 undi yang diperolehi Azmin.
Seramai 60,878 ahli PKR mengundi serentak di 24 bahagian di Perak hari ini, selepas pemilihan yang sepatutnya diadakan 23 September lalu, ditangguhkan akibat timbul masalah dalam pemilihan di Kedah dan Pulau Pinang sehari sebelumnya.
Rafizi sebelum ini mengumumkan beliau menang di Kelantan, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka.
Rafizi berkata, beliau kini mendahului Azmin dengan 995 undi, selepas pengundian di 158 bahagian di 12 negeri, termasuk keputusan bahagian di Negeri Sembilan dan Melaka, kecuali 6 bahagian di Selangor yang akan mengundi esok.
Katanya, beliau mempunyai 50.5% atau 47,542 undi daripada 86 bahagian, manakala Azmin mendapat 49.5% atau 46,547 undi daripada 72 bahagian.
“Ini adalah satu keputusan yang sangat baik, mengambil kira saya tiada sebarang kedudukan dalam kerajaan dan berkempen dalam serba kekurangan.
“Keputusan dari negeri-negeri (terutamanya Perak) memberi gambaran jelas ada tuntutan dari akar umbi yang perlu diberi perhatian oleh pimpinan pusat.”
Beliau berharap kemenangan itu dapat diteruskan 6 bahagian terakhir di Selangor yang akan menjalankan pengundian esok, disusuli Sabah dan Sarawak bulan depan.
“Saya yakin dengan momentum yang ada, disambut pula dengan sokongan baik di Sabah dan Sarawak, agenda reformasi dalaman yang kita bawa melalui #Reformasi20Tahun boleh dilaksanakan.”