Caci LGBT tak bantu usaha pemulihan, kata Jakim

Izwan Md Yusof mendakwa progam Mukhayyam membantu lebih 1,450 orang LGBT kembali ke jalan yang betul.

GEORGE TOWN: Satu seminar kesedaran tentang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendedahkan populasi gay berganda dalam tempoh 5 tahun yang lalu.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim Mohd Izwan Md Yusof berkata hari ini terdapat kira-kira 310,000 gay berbanding 173,000 gay pada 2013.

Dalam seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari, Izwan berkata populasi transgender juga menunjukkan peningkatan daripada kira-kira 30,000 hari ini berbanding 10,000 pada 1988.

Beliau berkata kebanyakan mereka adalah pekerja seks.

Izwan berkata peningkatan itu boleh dikaitkan dengan peningkatan bahan lucah dalam talian, kurang pemantauan oleh ibu bapa dan mencaci golongan keperempuan-perempuanan.

Beliau berkata cacian seperti “sotong” perlu dielakkan sama sekali kerana ia mendorong golongan LGBT bertindak melampau kerana sakit hati.

Izwan menggesa ibu bapa supaya memerhatikan anak-anak mereka kerana kecenderungan gay selalunya terpupuk di usia kecil.

Beliau juga menyeru kerajaan memansuhkan sekolah-sekolah asrama kanak-kanak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada sentuhan-sentuhan tidak wajar.

“Pada pendapat saya asrama hanya disediakan bagi mereka yang berada di Tingkatan 4 ke atas kerana mereka akan lebih sedar tentang sentuhan-sentuhan yang tidak wajar,” katanya.

Izwan berkata Jakim tidak menyokong LGBT tetapi ia akan terus santuni dan mendekati golongan itu dengan tujuan kaunseling.

“Jangan caci mereka. Dekati mereka, bercakap dengan mereka, berdoalah untuk mereka. Sebagai seorang Islam, kita benci dosa itu dan bukannya membenci pelakunya.

“Kita tak setuju dengan perbuatan berdosa dan kita mahu menasihati mereka. Dalam Islam tiada ruang untuk membolehkan perbuatan homoseksual.

“Jadi di pihak Jakim, kami mencari cara untuk membantu mereka yang tersimpang menyelaraskan kepercayaan mereka kepada Islam dan membawa mereka ke jalan yang betul.

“Kami sentiasa menyokong mencegah lebih baik dari merawat, jadi kami membawa pendekatan itu melalui pelbagai program di Jakim,” katanya.

Izwan berkata 1,450 daripada golongan LGBT sudah dipulihkan melalui program Mukhayyam yang dijalakan di pusat-pusat pemulihan.

Seorang lagi speaker, Dr Janizah Abdul Ghani daripada Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berkata perbuatan seks sesama lelaki banyak menyumbang kepada peningkatan kes penyakit kelamin seperti kes-kes HIV di negara ini.

Beliau berkata kajian menunjukkan perbuatan seks sesama wanita mencatatkan kes penyakit kelamin paling rendah setakat ini.

Dr Janizah berkata berdasarkan kajian tersendiri, hampir 80% pesakit gay yang mendapatkan rawatan penyakit kelamin di hospital menggunakan aplikasi janji temu untuk golongan homoseksual.