Ramai gay tapi tak semua terlibat hubungan songsang, kata Mujahid

KUALA LUMPUR: Tidak semua daripada lebih 300,000 gay yang direkodkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlibat dalam hubungan songsang, kata Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata rekod Jakim mempunyai pelbagai kategori termasuk kelompok yang tidak melakukan perbuatan songsang.

“Bilangan itu kena huraikan lagi. Ada mereka yang ada keinginan tetapi tidak semestinya mereka buat. Kita jangan ambil secara pukul rata dengan kata semuanya buat salah.

“Ada yang mempunyai keinginan jadi kita tangani dari awal. Ada yang terlibat, sedar ia tidak betul dan balik semula,” katanya pada sidang media di ruang legar Parlimen hari ini.

Terdahulu, satu seminar kesedaran tentang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendedahkan populasi gay berganda dalam tempoh 5 tahun yang lalu.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim Mohd Izwan Md Yusof berkata hari ini terdapat kira-kira 310,000 gay berbanding 173,000 gay pada 2013.

Mujahid berkata kerajaan mempunyai 2 pendekatan dalam menangani isu LGBT.

“Kita secara proaktif mengadakan program penerangan kepada orang ramai. Jadi secara positif pula kita terangkan kepada awam, beri nasihat, suruh golongan gay kawal dan baiki diri,” katanya.

Tahfiz perlu peruntukan lebih

Sementara itu, Mujahid berharap kerajaan memberi peruntukan lebih untuk mengangkat taraf pendidikan tahfiz selaras dengan dasar kerajaan.

Beliau berkata peruntukan itu akan banyak membantu pihaknya menjayakan dasar kerajaan.

“Saya harap kementerian diberi peruntukan secukupnya untuk kita laksana dasar tahfiz negara dengan lebih berkesan bagi mencapai standard antarabangsa dan dapat menyumbang kepada negara,” katanya.