
Pakar Dasar Sosial Unicef, Siti Altaf Deviyati memberitahu FMT bantuan kewangan itu boleh disediakan sehingga kanak-kanak itu berusia 5 tahun.
“Pelaburan bagi kanak-kanak akan memberi satu permulaan yang baik kerana ia boleh bertindak sebagai bantuan kewangan kepada keluarga muda dan meringankan beban pasangan, iaitu ibu yang tidak kembali bekerja kerana menjaga anak.
“Sasaran pelaburan ini bukan hanya kepada keluarga B40 (berpendapatan 40% terendah), tetapi keluarga muda yang kurang mampu dari segi kewangan,” katanya yang berharap Bajet 2019 turut memfokuskan isu kanak-kanak bagi mengukuhkan tahap perlindungan sosial negara.
Unicef dalam kaji selidik yang dikeluarkan Februari lalu mendapati 1 dalam 5 kanak-kanak di Kuala Lumpur mengalami pertumbuhan terbantut, manakala 1 dalam 10 kanak-kanak kurang berat badan.
Menurut kaji selidik bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah di Kuala Lumpur” itu, masalah kurang berat badan, terbantut dan kurus kering yang berleluasa di kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun adalah 2 kali ganda lebih banyak berbanding purata Kuala Lumpur.
Masalah berat badan berlebihan pula hampir 6 kali ganda (23%) daripada purata Kuala Lumpur (4%).
Unicef berkata, berbanding negara yang mempunyai keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita sama dengan Malaysia, berat badan kanak-kanak di negara ini adalah tinggi.
“Misalnya, hampir 13% kanak-kanak kita yang berusia 5-19 tahun adalah obes (gemuk) dan peratusan ini lebih tinggi daripada Hungary (11), Turki (10%) dan Poland (9%).
“Peratusan kanak-kanak kita yang terbantut pula lebih teruk (20.7%) daripada Ghana (18.8%), walaupun KDNK per kapita Malaysia 6 kali lebih tinggi.
“Di Putrajaya, 1 dalam 4 kanak-kanak terbantut, menjadikannya ‘lebih tinggi daripada purata kebangsaan’, manakala di Kelantan, masalah pembesaran terbantut mencapai 34%, lebih teruk daripada kanak-kanak di negara berpendapatan rendah seperti Zimbabwe (27.6%) dan Swaziland (25.5%).”
Dalam Bajet 2018, kerajaan bersetuju memberi Dana Tabungan Permulaan RM200 bagi setiap anak Malaysia yang dilahirkan mulai 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2022 melalui unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Skim itu pertama kali diperkenalkan untuk menjamin masa depan generasi TN50 yang dikenali sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).
Sementara itu, seorang pejuang hak kanak-kanak, Madeleine Yong meminta kerajaan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek kanak-kanak, termasuk kesihatan fizikal dan mental, pendidikan, perlindungan, pembangunan rohani dan budaya.
Pengasas Protect and Save The Children – sebuah NGO menangani masalah seksual kanak-kanak itu berkata, pelaburan dalam sistem perkhidmatan kanak-kanak adalah satu bentuk pencegahan dan pembaikan untuk menyokong hak kanak-kanak.
Beliau mencadangkan kerajaan menyelaras Bajet 2019 untuk memenuhi 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang merupakan agenda global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk dicapai semua negara anggotanya menjelang 2030.