
KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat PKR dari Kedah menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Datuk A Kadir Jasin di bawah Akta Hasutan.
Ini susulan tulisan Kadir di laman blog miliknya pada 30 Oktober bertajuk “Selamat Bertakhta Al Aminul Amin” didapati secara tidak langsung boleh mencetuskan prasangka buruk terhadap Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Saya merakamkam perasaan kecewa yang amat sangat terhadap tulisan Kadir yang tular di media sosial baru-baru ini. Saya desak polis menyiasat beliau di bawah Akta Hasutan.
“Ia boleh mencetuskan prasangka buruk seolah-olah Tuanku Sultan Sallehuddin mengambil kesempatan untuk berniaga dan menyalah gunakan kedudukan baginda,” kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
Menurut Johari, Kadir dalam tulisannya ketika menceritakan apakah yang terjadi ketika hari pertabalan baginda baru-baru ini, melalui lirik lagu rasmi negeri Kedah, turut menyelitkan unsur penghinaan terhadap Sultan Kedah.
Johari yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun berkata, Tuanku Sultan Sallehuddin disayangi rakyat, bahkan merupakan bekas pegawai Regimen Askar Melayu Di-Raja Malaysia.
“Tuanku Sultan Sallehuddin pernah memikul senjata berjuang menentang komunis di hutan belantara tanah air dan pernah menjadi pegawai pemerintah semasa konfrontasi dengan Indonesia.
“Saya sendiri tidak tahu apakah motif Kadir bertindak sedemikian. Ia meresahkan rakyat di peringkat bawah sekiranya sebagai wakil rakyat saya tidak lakukan sesuatu,” katanya.
Semakan FMT mendapati Kadir dalam tulisannya itu ketika mengulas peranan raja seperti terkandung dalam lagu rasmi negeri Kedah antara lain menyebut:
“Lagu rasmi itu dengan jelas menyatakan tempat raja adalah di atas takhta dan tanggungjwab raja adalah memelihara Islam ‘agama Nabi kita’.”
“Ia tidak kata, ‘berpanjangan usia di bilik lembaga’ dan ‘pelihara konglomerat niaga baginda’.”
Johari bagaimanapun berkata, pendiriannya itu tidak bercanggah dengan pendirian Pakatan Harapan seperti terkandung dalam manifesto pilihan rayanya yang berhasrat memansuhkan akta berkenaan.
“Bagi sesetengah orang, mungkin kenyataan ini bersifat umum, tetapi bagi saya ia khusus ditujukan kepada Sultan Kedah.
“Kita berjanji untuk mansuhkan (Akta Hasutan), tetapi sebelum ia dimansuhkan, ia harus dilihat kembali bahawa kenyataan ini merupakan suatu perkara yang tidak benar.
“Ini bukannya kerana saya PKR dan dia (Kadir) dari PPBM. Sesiapa sahaja, termasuk PKR juga, saya tidak peduli, sesiapa sahaja harus ada etika, tidak boleh hentam orang sebegitu,” katanya.
Johari berkata, sebagai wartawan veteran, Kadir seharusnya mengetahui etika sebenar wartawan dalam mendedahkan sesuatu perkara.
“Kalau beliau ada fakta, harus buat laporan, berikan bukti kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berwajib lain, bukannya bertindak seperti ini,” katanya.
Johari berkata, ini bukanlah kali pertama Kadir mempertikaikan kedudukan Raja-raja Melayu, kerana sebelum ini beliau pernah mempertikaikan hak dan keistimewaan Yang Di Pertuan Agong.
“Ini yang berbahaya. Cuba bayangkan ribuan orang adakan demonstrasi di Kedah, itu tidak bagus. Sebelum ini dia keluarkan kenyataan mengenai perbelanjaan Agong, kali ini Sultan Kedah. Bagi saya ia salah.
“Saya akan buat laporan polis dan saya minta rakyat Kedah, khususnya anggota tentera turut membuat laporan polis terhadap tindakan Kadir. Kadir harus disiasat,” katanya.