Bukan mengejutkan GPS mahu tanding semua DUN, kata PKR Sarawak

Bukan mengejutkan GPS mahu tanding semua DUN, kata PKR Sarawak

Ketua PKR Sarawak Ahmad Nazib Johari berkata tindakan bertanding di semua kerusi bukan jaminan kemenangan mutlak.

Ketua PKR Sarawak Ahmad Nazib Johari berkata negeri itu memerlukan semak dan imbang yang kuat bukan dominasi tanpa cabaran. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu meletakkan calon di semua kerusi pada PRN akan datang bukan sesuatu yang mengejutkan.

Ketua PKR Sarawak, Ahmad Nazib Johari, berkata tindakan itu juga bukan jaminan kemenangan mutlak bagi gabungan tersebut.

“Kita hormati hak mana-mana parti untuk bertanding di mana sahaja dalam sistem demokrasi. Namun, rakyat Sarawak hari ini bukan lagi pengundi yang mudah dipengaruhi retorik kuasa semata-mata.

“Mereka menilai berdasarkan prestasi, integriti, dan keupayaan menyelesaikan isu sebenar rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kemudahan asas, serta jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar,” katanya kepada FMT.

Nazib yang juga setiausaha politik menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, tindakan itu juga menunjukkan satu pendekatan ‘monopoli politik’ yang kurang sihat dalam demokrasi.

“Sarawak memerlukan semak dan imbang yang kuat, bukan dominasi tanpa cabaran. Tanpa pembangkang yang berfungsi, suara rakyat berisiko dipinggirkan.

“Kita tidak bertanding semata-mata untuk menang tetapi memastikan setiap suara rakyat didengar dan diperjuangkan. Sarawak bukan milik mana-mana parti, Sarawak milik rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan memuktamadkan strategi terbaik menjelang PRN Sarawak dan setakat ini masih belum ada perbincangan.

Katanya, bagaimanapun jentera Amanah tetap dipersiapkan termasuk menilai data bagi menentukan hala tuju terbaik parti itu di Sarawak.

“Apapun, Amanah tetap akan membuat keputusan bersama PH tentang perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi GPS, Abang Johari Openg, berkata gabungan itu akan meletakkan calon di semua kerusi DUN pada PRN akan datang sambil meminta parti dari luar tidak mengganggu kerana hanya rakyat Sarawak benar-benar memahami budaya dan politik negeri berkenaan.

Penggal DUN Sarawak akan tamat Februari tahun depan, melainkan dibubarkan lebih awal, dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran atau selewat-lewatnya menjelang April 2027.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching daripada DAP, Dr Kelvin Yii, berkata ketiadaan pembangkang bukan sesuatu yang baik untuk kepentingan Sarawak.

Beliau memberi amaran supaya tidak kembali kepada ‘zaman di mana kerajaan negeri mempunyai kuasa tidak terbatas tanpa sebarang akauntabiliti yang sewajarnya’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.