
Menurut laporan Sinar Harian, usul itu dikemukakan ketua cabang itu, Razeef Rakimin yang berkata, Rafizi dua kali diberikan surat tunjuk sebab, namun tiada sebarang tindakan diambil.
Beliau berkata kelantangan Rafizi yang disifatkan sesetengah pimpinan utama PKR sebagai sudah melanggar ‘garis merah’ perlembagaan parti tetapi PKR masih tidak berani untuk mengambil tindakan.
Susulan itu, Razeef mengusulkan supaya parti memecat Rafizi sekiranya Ahli Parlimen Pandan itu benar-benar telah melanggar perlembagaan parti.
Pada 5 April lalu, Rafizi terselamat daripada cubaan menggugurkan beliau sebagai ketua PKR Pandan dalam mesyuarat agung tahunan cabang itu.
Rafizi mencapai kemenangan tipis apabila 42 ahli cabang mengundi untuk menolak usul memecat atau menggantung beliau sebagai ketua, hanya lebih lapan undi daripada 34 yang menyokong usul itu.
Timbalan Ketua Pemuda PKR Pandan Haqimi Zamri berkata, usul itu dibentangkan oleh ahli-ahli yang mahu merampas cabang tersebut daripada Rafizi.
Rafizi lantang mengkritik kerajaan dan PKR secara terbuka selepas tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR dan meletak jawatan sebagai menteri ekonomi pada Mei tahun lepas.
Pada Februari lepas, PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rafizi kerana menyatakan pendirian untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada PRU akan datang, namun mungkin bukan sebagai calon PKR.
Rafizi terus berteka-teki mengenai rancangannya selepas Parlimen dibubarkan, tetapi kerap memberi bayangan akan meninggalkan PKR.
Beliau bagaimanapun pernah menegaskan tidak akan menubuhkan parti baharu atau menyertai ‘kuasa ketiga’.
Difahamkan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Rafizi ini merupakan punca usul tersebut dibentangkan terhadap beliau.