Letak jawatan: MB Perak percaya presiden Pafa akan buat keputusan tepat

Letak jawatan: MB Perak percaya presiden Pafa akan buat keputusan tepat

Ahmad Faizal Azumu sudah berbincang perkara berbangkit dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak Hasnul Zulkarnain.

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu percaya Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim akan membuat keputusan tepat mengenai desakan memintanya melepaskan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Ahmad memahami kekecewaan dan permintaan penyokong pasukan The Bos Gaurus (TBG), namun isu yang melanda Presiden PAFA itu tidak seharusnya membayangi matlamat yang lebih besar.

“Saya tidak mahu komen sama ada beliau harus letak jawatan atau tidak, tetapi saya percaya beliau akan mengambil kira semua pandangan dari para penyokong dan akhirnya saya minta semua pihak fikirkan kepentingan bagaimana nak teruskan kejayaan.

“Saya telah berbincang dengan Hasnul dan saya harap beliau akan membuat keputusan yang tepat,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis sambutan Deepavali 2018 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.

Sebelum ini, Hasnul yang juga exco komunikasi, multimedia, NGO dan pembangunan koperasi negeri dikritik hebat para penyokong bola sepak tempatan kerana memuat naik gambarnya bersama Piala Malaysia yang diletakkan di celah kangkang.

Mengulas lanjut, Faizal berkata perarakan menyambut Piala Malaysia dan kemenangan pasukan Perak dijangka akan dilakukan pada 11 November ini serentak dengan acara larian sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ke-62 di Kuala Kangsar.

Beliau berkata, pihaknya memohon izin Sultan Nazrin bagi mengadakan perarakan itu Sabtu ini.

“Trofi Piala Malaysia bagaimanapun belum dipersembahkan kepada tuanku, namun saya telah memohon perkenan daripada tuanku untuk bersama-sama pemain dan berarak dengan trofi Piala Malaysia untuk peminat negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.