Pemilihan PKR: Azmin di hadapan Rafizi untuk timbalan presiden

Pemilihan PKR: Azmin di hadapan Rafizi untuk timbalan presiden

Keputusan tidak rasmi setakat ini menyaksikan Azmin mendahului Rafizi dengan 3,992 undi.

KUALA LUMPUR:
Keputusan tidak rasmi pemilihan PKR menunjukkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului persaingan merebut jawatan timbalan presiden parti dengan kelebihan 3,992 undi berbanding pencabarnya, Rafizi Ramli.

Keputusan tidak rasmi setakat ini menunjukkan Azmin memperoleh 60,075 undi berbanding 56,083 yang diperoleh Rafizi selepas pemilihan diadakan di 13 negeri.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak termasuk pemilihan PKR Pensiangan, Keningau dan Tawau di Sabah yang digantung, dan beberapa lagi PKR bahagian di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Labuan yang perlu diadakan semula.

Setakat ini keputusan di 6 negeri sudah dimuktamadkan iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Pemilihan PKR hanya berbaki satu negeri lagi, iaitu Sarawak yang akan memilih pada 10 November ini, dengan tumpuan kepada bahagian Julau dan Lubok Antu.

Perebutan 4 jawatan naib presiden menyaksikan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar meninggalkan 12 pencabar dengan 67,050 undi, diikuti Menteri Zuraida Kamaruddin (52,226), Menteri Dr Xavier Jayakumar (47,566) dan bekas ahli Parlimen Batu Tian Chua (42,068).

Persaingan untuk ketua Pemuda PKR menyaksikan Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin (14,000 undi) mendahului Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir (13,169) dan Adun Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi (2,982).

Persaingan untuk ketua Wanita PKR menyaksikan Adun Taman Medan Haniza Mohd Talha (24,179 undi) mendahului Timbalan Menteri Fuziah Salleh (19,662 undi).

Keputusan tidak rasmi setakat ini menyaksikan dominasi pasukan Azmin Ali berbanding pasukan Rafizi Ramli dan pesaing-pesaing lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.