Kerajaan sedia ‘sarapan’ untuk pelajar sejak 1979, Najib bidas Maszlee

Kerajaan sedia ‘sarapan’ untuk pelajar sejak 1979, Najib bidas Maszlee

Najib Razak berkata kerajaan melalui KPM menyediakan RMT kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

Kerajaan BN memperuntukkan RM2.50 sehari kepada murid Semenanjung Malaysia dan RM3.00 untuk murid di Malaysia Timur. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas tindakan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang mahu membuat kajian bagi menyediakan sarapan percuma untuk pelajar, sedangkan kerajaan melaksanakannya sejak 1979.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada murid daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Orang kata jauh perjalanan, luas pemandangan. Mungkin hasil berjalan sampai ke Jepun inilah dia boleh terfikir idea bernas ini.

“Tak payah ke Jepun nak tahu atau belajar perkara macam ini. Tidak perlu ‘pandang ke Timur’. Lebihkan masa memahami operasi kementerian,” katanya menerusi Facebook.

RMT dikelola, diselia dan dilaksanakan sepenuhnya oleh KPM bermula 1979.

Ia adalah makanan tambahan kepada murid-murid sekolah rendah, terutamanya dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah, secara imbuhan untuk sementara waktu, bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan.

Usaha ini juga untuk membantu murid-murid meningkatkan prestasi kehadiran dan akademik mereka di sekolah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Najib berkata, kerajaan lalu memberi RM2.50 sehari kepada murid untuk Semenanjung Malaysia dan RM3.00 sehari untuk murid di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Mungkin beliau terlalu sibuk perihal warna pakaian seragam pelajar beliau tak perasaan kerajaan Pakatan Harapan sendiri dah potong peruntukan untuk RMT dalam Belanjawan 2019.

“Agak-agak beliau nak kaji apa lagi lepas ini?,” katanya.

Semalam, Maszlee berkata KPM akan mengkaji untuk menyediakan skim sarapan percuma berkhasiat untuk anak-anak dari keluarga B40.

Beliau yang berada di Jepun mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dalam lawatan kerja 3 hari ke negara matahari terbit berkata, kajian berkenaan merupakan hasil lawatan beliau ke sekolah awam Itabashi Daiichi Elementary School yang terletak Itabashi-ku, Tokyo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.