Kerajaan perkenal sistem elak kanak-kanak terlibat jenayah ringan ditahan

Kerajaan perkenal sistem elak kanak-kanak terlibat jenayah ringan ditahan

Sistem 'Diversion' merupakan sistem pengalihan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ringan dan tidak serius daripada sistem kehakiman sedia ada.

Wan Azizah Wan Ismail berkata sistem ‘diversion’ ditubuhkan bagi mengelakkan kanak-kanak mengalami kesan psikologi dalam jangka masa panjang selepas melalui proses perundangan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan melaksanakan satu sistem bagi memastikan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ringan dan tidak serius daripada ditahan pihak berkuasa.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata sistem yang dikenali sebagai “Diversion” itu dijangka akan dilaksanakan tahun depan.

“Diversion merupakan satu sistem pengalihan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ringan dan tidak serius daripada sistem kehakiman sedia ada.

“Kanak-kanak tersebut akan menjalankan modul intervensi yang disediakan khas untuk mereka mengikut jenis kesalahan dan latar belakang kanak-kanak tersebut.

“Mengikut model ini, kanak-kanak yang tersabit kesalahan ringan tidak akan ditahan,” katanya ketika berucap ketika menghadiri lawatan rasmi ke Sekolah Tunas Bakti (L) Sungai Besi, hari ini.

Wan Azizah berkata modul intervensi tersebut merangkumi kaunseling, khidmat masyarakat, membayar ganti rugi atau membaik pulih kerosakan yang dilakukan.

Katanya, sistem itu ditubuhkan bagi mengelakkan kanak-kanak mengalami kesan psikologi dalam jangka masa panjang selepas melalui proses perundangan akibat jenayah kecil yang dilakukan.

“Kadangkala kesan buruk dari sudut psikologi yang dihadapi oleh kanak-kanak kerana melalui proses perundangan akibat daripada melakukan kesalahan-kesalahan kecil adalah lebih teruk daripada kesalahan itu sendiri,” katanya.

Wan Azizah bagaimanapun berkata pelaksanaan itu akan dibawa ke Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu kerana jabatan itu bertanggungjawab menentukan jenis kesalahan yang perlu diletakkan di bawah sistem tersebut.

Mengulas mengenai kehilangan 3 pelajar perempuan yang melarikan diri dari Asrama Akhlak Perempuan Jitra, Kedah semalam, Wan Azizah berkata kementerian akan mengambil tindakan terhadap pelajar berkenaan mengikut prosedur sedia ada.

Katanya, setakat ini seorang lagi pelajar sudah berjaya ditemui dan menjadikan hanya 2 pelajar masih lolos.

“Mereka juga tidak inginkan perkara ini. Mungkin mereka tidak faham dan rasa ditahan di asrama itu atau sebagainya. Ini adalah satu persepsi yang kita mesti ubah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Ismail Ibrahim semalam berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.00 pagi dan disedari pembantu kebajikan masyarakat selepas menerima aduan daripada penghuni lain pada pukul 1.17 pagi.

“Semasa kejadian, pengadu bersama seorang lagi rakannya menerima aduan daripada penghuni lain yang memaklumkan terdapat 7 penghuni melarikan diri dengan memecahkan siling bumbung tandas asrama berkenaan.

“Selepas membuat pemeriksaan, pengadu menemui semula 4 penghuni itu berhampiran asrama manakala 3 lagi penghuni yang semuanya berumur 16 tahun masih belum ditemui,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.