
Pengerusinya, Datuk Rashid Din, berkata penggodam cuba memasukkan perisian intip itu dalam 10 tablet yang digunakan untuk proses pengundian.
Katanya, siasatan awal mendapati perisian intip itu dimasukkan secara fizikal ke dalam tablet untuk kegunaan bahagian Julau kira-kira 4 pagi tadi.
“Memang ada orang masukkan perisian itu. Empat tablet yang terkena, jadi kita hilang 4 tablet.
“Perisian itu masuk dan membersihkan terus data di dalamnya sebab kita buat online, selepas itu ia padam (data dalam) 4 tablet,” katanya ketika dihubungi FMT.
Terdahulu, calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa tablet yang digunakan di pusat mengundi Julau diserang perisian intip dikenali sebagai “Prey”.
Katanya, perisian itu membolehkan penggodam mengawalnya dari jauh.
Rashid berkata, Unit Sistem dan Teknologi Maklumat (IT) JPP mengesan kegagalan sistem e-undi di pusat mengundi Julau pada 2 petang tadi.
“Maklumat yang diterima menyebut perisian ini digunakan untuk memadam aplikasi e-undi dalam tablet, mencuri data, mengubah kata laluan dan mengawal tablet menggunakan komputer dari jarak jauh.”
Beliau berkata, Unit Sistem dan IT JPP bertindak segera dengan menukar mod undian kepada “offline” dan membuang perisian intip daripada tablet terbabit.
Katanya, JPP di Sarawak membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebentar tadi dan pemilihan semula akan diadakan selepas pihaknya meneliti jumlah undi terjejas dan hilang di bahagian Julau.
“JPP menggantung keputusan bagi bahagian Julau sehingga pemulihan tablet dan penyatuan data habis diproses.
“JPP juga sedang menyiasat sama ada serangan siber seperti ini berlaku di tempat lain yang turut mengadakan pemilihan hari ini.”
Difahamkan, perisian intip “Prey” akan membolehkan penggodam “membuang data dan fail dalam peralatan dari jarak jauh” serta menguruskan dan mengendalikan “ribuan peralatan” secara serentak.