Kementerian kemuka 4 model ganti monopoli Bernas

Kementerian kemuka 4 model ganti monopoli Bernas

Salahuddin Ayub berkata kerajaan tidak terburu-buru memperkenalkan model baharu kerana melibatkan keselamatan makanan negara.

KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengemukakan 4 model baharu bagi menggantikan monopoli Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang bakal berakhir pada Januari 2021.

Menteri Datuk Salahuddin Ayub berkata cadangan model itu akan dinilai terlebih dahulu oleh satu jawatankuasa khas dianggotai 8 kementerian.

“Kami telah kemukakan 4 model ini dan terpulang kepada jawatankuasa khas untuk pilih model terbaik dan akhirnya model itu yang akan dibawa kepada Kabinet untuk diputuskan dan ditentukan sebagai model terakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas Program Suara Harapan terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga tidak mahu terburu-buru memperkenalkan model baharu itu bagi menggantikan Bernas kerana ia melibatkan soal keselamatan makanan negara.

“Memandangkan monopoli Bernas akan berakhir 2021, kami ada masa lagi untuk mencari model terbaik,” katanya.

Sebelum ini Salahuddin dilaporkan berkata 3 jawatankuasa khas di bawah kementeriannya ditubuhkan dalam usaha kerajaan untuk menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan iaitu menamatkan monopoli Bernas.

Penamatan monopoli Bernas itu juga sebagai langkah proaktif bagi menjamin kestabilan harga beras di samping menjaga kepentingan petani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.