Lagi 16 petani maut diserang militan Boko Haram

Lagi 16 petani maut diserang militan Boko Haram

Sejumlah 15 mayat ditemui di ladang dan 35 orang lagi tidak dapat dikesan dalam serangan terbaru militan itu di Borno timur laut Nigeria.

Boko Haram menyerang petani dan pembalak kerana menuduh mereka memberikan maklumat kepada tentera.
KANO:
Militan Boko Haram membunuh sekurang-kurangnya 16 petani dan puluhan lagi masih hilang dalam serangan terbaru di Borno timur laut Nigeria.

Sejumlah 15 mayat ditemui di ladang di sekitar kampung Kazaa dan Daraa, 5 km di luar bandar Garrison Monguno pada Selasa.

“Seramai 35 orang lagi tidak dapat dikesan dan usaha mencari mereka sedang dijalankan,” kata pemimpin militia awam, Ibrahim Liman.

Kebanyakan mangsa dari kem di kawasan perumahan Monguno yang berpindah akibat pemberontakan selama 9 tahun.

Pada Selasa, 2 militan yang menunggang motosikal menembak petani di luar kampung Gremari, kata militia Umar Ari.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Boko Haram meningkatkan serangan terhadap petani dan pembalak kerana menuduh mereka memberikan maklumat kepada tentera.

Bulan lepas, serangan militan meragut nyawa 12 petani di ladang di Kalle, sebuah kampung terpencil 17 km dari Maiduguri.

Lebih 27,000 orang terkorban sejak pemberontakan bermula di timur laut negara itu pada 2009 dan 1.8 juta hilang tempat tinggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.