Rafizi mengaku kalah dalam pertandingan timbalan presiden

Rafizi mengaku kalah dalam pertandingan timbalan presiden

Rafizi Ramli mengalah bagi mengelakkan situasi menang sorak, kampung tergadai.

Rafizi berkata Azmin perlu memperhalusi isyarat yang dihantar para ahli yang memberikan kemenangan tipis kepadanya.
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli hari ini mengaku kalah dalam pertandingan timbalan presiden sebelum keputusan rasmi diumumkan hujung minggu ini.

Beliau berbuat demikian bagi mengelakkan kesan buruk lebih besar terhadap parti sekiranya pesaingnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tewas jika pemilihan semula diadakan.

Rafizi dalam kenyataan percaya kekalahan kekalahan seorang menteri di tangannya yang tidak bekerja akan menjadi alasan untuk Azmin berundur.

“Saya menjangkakan penyokong Azmin lebih sukar menerima kekalahan berbanding saya. Saya juga melihat bagaimana penyokong beliau kuat bertalu-talu membuat laporan SPRM mengenai keahlian di bahagian Julau, sehingga menyebabkan kakitangan parti ditahan.

“Saya yakin jika pemilihan semula diadakan di Julau, watak seperti ini akan mengheret parti ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan mahkamah. Akhirnya, kita tidak ubah seperti pepatah Melayu ‘menang sorak, kampung tergadai’,” katanya.

Rafizi yakin keadaan boleh memihak kepadanya sekiranya pemilihan diadakan semula memandangkan perbezaan undi antara mereka hanya 2%.

Beliau berkata keputusan pemilihan kali ini menunjukkan Azmin memperoleh 51% daripada keseluruhan undi, jelas melambangkan 2 aliran berbeza “yang sama kuat dan sama penting” dalam PKR.

“Isyarat yang dihantar melalui undi ahli yang memberi kemenangan kurang 2% kepada Azmin adalah isyarat yang perlu diperhalusi oleh beliau sendiri,” katanya.

Rafizi seterusnya berkata dia tidak mahu pergolakan daripada pemilihan berpanjangan sehingga ke Kongres Nasional yang sedang berlangsung kerana kesannya akan ditanggung presiden baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar pertama kali memegang jawatan presiden sejak PKR ditubuhkan pada 2003, walaupun beliau dianggap sebagai ketua umum parti itu.

Rafizi berkata pergolakan yang berpanjangan akan menyebabkan Anwar dituduh sebagai seorang pemimpin yang tidak berkemampuan mengendalikan parti dan mendisiplinkan pimpinan.

“Akan ada suara sumbang dari luar dan dalam parti yang mempersoalkan kewibawaan beliau menjadi perdana menteri ke-8.

“Saya mendoakan Anwar sebagai presiden dan bakal perdana menteri mendengar dan meneliti segala kemelut dan keluh kesah anggota di bawah. Sejujurnya, tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah di dalam pemilihan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.