
Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield dirancang untuk berpindah ke satu tanah yang lebih luas yang terletak kira-kira 3km dari tempat sekarang, berdasarkan satu penghakiman persetujuan Mahkamah Tinggi melibatkan beberapa pihak termasuk kerajaan Selangor pada 2014.
Namun, kumpulan “Save Seafield Sri Maha Mariamman Temple” berkata kuil itu, yang dibina lebih 40 tahun lalu, adalah warisan sejarah dan tidak patut dipindahkan.
Ketua kumpulan itu, S Ramaju, menuduh kerajaan tidak peduli akan bantahan mereka.
“Ini adalah kerajaan baharu, tetapi tidak menawarkan penyelesaian dan tidak proaktif,” katanya, dan menambah mereka akan berhimpun di luar Parlimen pada 21 November ini, sehari sebelum perpindahan kuil itu.
“Kami mahu perdana menteri campurtangan dan bantu kami cari satu penyelesaian. Tiada orang dengar rayuan kami,” katanya.
Dia disertai VK Raghu, yang mengetuai Majlis Hindu Sedunia cawangan Malaysia. Raghu menggambarkan kuil itu sebagai unik bagi penganut Hindu di kawasan itu.

“Kuil Devi terdekat terletak di Kelana Jaya. Lebih 90% masyarakat India di Malaysia umumnya pemuja Devi atau Amman, dan dari USJ 1 hingga 21, mereka tiada kuil,” kata Raghu, merujuk kepada dewi Hindu.
Beliau berkata kerajaan yang bijak akan prihatin tentang menjaga rumah ibadat Hindu seperti mana mereka menjaga masjid dan gereja.
Keputusan untuk memindahkan kuil itu dilihat sebagai satu penyelesaian yang memenangkan semua pihak. Selain pemaju, One City, dan kerajaan negeri, penyelesaian itu turut dipersetujui 2 pihak yang menuntut pengurusan kuil itu, K Chellappa dan M Nagaraju.
Dalam penyelesaian itu, One City akan menyumbang RM1.5 juta untuk membina kuil baharu di salah satu daripada 2 bidang tanah yang diberikan One City kepada kuil itu.
Sebelum ini, Chellappa dinamakan sebagai pengurus kuil yang sah. Nagaraju kini tidak lagi bersetuju dengan penyelesaian itu dan mahu menghalang pemindahan tersebut.
Pemindahan kuil itu bulan lalu ditangguhkan kepada 22 November selepas pertembungan 6 jam dengan pemuja yang tidak membenarkan berhala utama dipindahkan.
Antara isu yang ditimbulkan oleh penentang pemindahan kuil itu ialah pokok beringin, yang menurut mereke berusia 147 tahun, dan dianggap suci oleh pemuja.
Pada sidang media hari ini, Raghu berkata para pemuja adalah pihak berkepentingan sebenar kuil itu.
“Selalunya beribu-ribu datang. Kebiasaannya capai 2,000 orang pada Jumaat dan Sabtu,” katanya.
Raghu mendakwa lebih 30 NGO mahu kuil itu kekal di tempat sedia ada.