Sistem pemilihan satu ahli satu undi tidak praktikal, kata Nik Nazmi

Sistem pemilihan satu ahli satu undi tidak praktikal, kata Nik Nazmi

Sistem pemilihan 'satu ahli satu undi' untuk semua jawatan tidak praktikal kerana terdapat terlalu banyak undi undi dikira bagi setiap peringkat parti dan sayap.

Nik Nazmi mencadangkan sistem satu ahli satu undi digunakan hanya untuk memilih pemimpin tertinggi PKR, manakala bagi jawatan lain ditentukan melalui undi perwakilan.
SHAH ALAM:
Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyarankan kepada partinya supaya mengkaji semula sistem pemilihan pemimpin sekarang untuk masa akan datang.

Katanya, sistem satu ahli satu undi untuk semua jawatan tidak praktikal kerana terdapat terlalu banyak undi undi dikira bagi setiap peringkat parti dan sayapnya.

Beliau sebaliknya mencadangkan sistem satu ahli satu undi digunakan hanya untuk memilih pemimpin tertinggi PKR, manakala bagi jawatan lain ditentukan melalui undi perwakilan.

“Parti politik lain tidak mengamalkan sistem ‘satu ahli satu undi’ untuk semua jawatan dalam parti. Mereka tidak seberani kita,” katanya.

Semalam, bakal presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan untuk mengkaji semula sistem pemilihan parti itu apabila mengambil alih teraju kepimpinan daripada Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar berkata, satu kajian akan dilakukan oleh sebuah jawatankuasa khas untuk melihat semula keseluruhan proses berkenaan.

Nik Nazmi mengakui terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan masalah dan kelemahan yang berlaku dalam proses pemilihan kali ini.

“Tidak kira calon A calon B, semua ada rasa tidak puas hati mereka,” katanya, dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nik Nazmi mencadangkan umur untuk menjadi ahli PKR dikurangkan kepada 18 tahun, selari dengan keputusan kerajaan menurunkan umur layak mengundi dari 21 ke 18 tahun.

“Kita alu-alukan keputusan itu, tetapi ini juga bermakna kita perlu menekankan pendidikan politik, sama ada di peringkat kerajaan atau parti,” katanya.

Sebelum ini proses pemilihan pemimpin dalam PKR dilakukan oleh perwakilan dari setiap bahagian parti, namun sistem itu diubah pada 2010 untuk membenarkan semua ahli berdaftar mengundi dalam pemilihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.