Kajian: Sekolah lokasi utama kejadian buli

Kajian: Sekolah lokasi utama kejadian buli

75% mangsa dibuli secara lisan seperti diberi gelaran memalukan, menghina nama, dimalukan kerana paras rupa, cara berpakaian, kelakuan dan cara bertutur serta dipinggirkan.

Sesetengah kanak-kanak terpaksa berpindah ke sekolah lain untuk mengelak daripada terus menjadi mangsa buli. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seramai 8 daripada 10 kanak-kanak menyatakan sekolah merupakan tempat sering berlaku kejadian buli, manakala 1 daripada 2 kanak-kanak mengklasifikasikan bilik darjah sebagai tempat berlakunya insiden buli, menurut kajian.

Kajian Children4 Change dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan WOMEN:girls turut mendedahkan 3 daripada 4 kanak-kanak yang terlibat dengan tinjauan ini pernah menjadi mangsa buli.

Kajian yang dijalankan ke atas lebih 2,000 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun seluruh Malaysia juga mendapati, kanak-kanak lelaki banyak menjadi mangsa buli fizikal hingga diancam dengan keganasan berbanding perempuan dengan nisbah 2 berbanding 1.

“75% mangsa buli menyatakan pernah dibuli menggunakan lisan dan perkara-perkara berkaitan seperti diberi gelaran memalukan, menghina nama, dimalukan kerana paras rupa, cara berpakaian, kelakuan dan cara bertutur, pernah dipinggirkan dari kumpulan atau aktiviti tertentu.

“Lebih banyak kanak-kanak di bawah umur 12 tahun berbanding kanak-kanak di sekolah menengah dilaporkan pernah menjadi mangsa buli secara tidak langsung (relational bullying) seperti dipinggirkan daripada kumpulan atau aktiviti.

“3 daripada 10 kanak-kanak berusia 16 hingga 17 tahun pula menyatakan pernah mempunyai pengalaman sebagai mangsa buli siber, lebih tinggi berbanding kanak-kanak di bawah usia 18 tahun iaitu nisbah 1 daripada 10,” menurut laporan berkenaan.

Laporan dengan tajuk “Pengalaman Buli Dialami Kanak-Kanak dan Remaja di Malaysia” itu menyatakan, 2 daripada 5 kanak-kanak tanpa berselindung menyatakan rasa marah dan berasa sedih menjadi mangsa buli.

“Kanak-kanak perempuan mendedahkan mereka sedih menjadi mangsa buli, manakala kanak-kanak lelaki yang berkongsi pengalaman itu menyatakan mereka marah dengan pengalaman yang dilalui,” menurut laporan.

Kajian mendapati, mangsa buli lebih gemar memaklumkan kepada guru dengan peratusan sebanyak 51%, lebih tinggi berbanding memberitahu rakan-rakan (50%) dan memberitahu ibu bapa (49%).

Sesetengah kanak-kanak pula terpaksa berpindah ke sekolah lain untuk melindungi diri daripada terus menjadi mangsa buli.

Kajian turut menyatakan 1 daripada 3 kanak-kanak yang membuli tidak bermaksud untuk bersikap jahat atau membuli pihak lain. Walaupun dianggarkan 1 daripada 5 kanak-kanak mengaku pernah membuli dengan mengejek, mengugut, memukul, menendang seseorang.

“29% kanak-kanak lelaki memberitahu pernah membuli berbanding 17% kanak-kanak perempuan. 70% kanak-kanak berusia 13 hingga 15 tahun menyatakan pernah membuli seseorang, lebih tinggi berbanding kanak-kanak berusia 16 hingga 17 tahun (64%) dan kanak-kanak bawah usia 12 tahun (56%),” menurut laporan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.