
Seramai 50 orang peserta menunjuk perasaan di luar Parlimen pada 11.00 pagi hari ini mahu Putrajaya mencampuri pertikaian antara jawatankuasa kuil Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya dan One City dengan kumpulan tersebut yang berlarutan dari 1990-an, walaupun mahkamah sudah membuat keputusan 4 tahun lalu.
“Kami percaya pejabat menteri mempunyai segala kuasa dari segi perundangan dan kuasa pentadbiran bagi mengambil tindakan yang bersesuaian agar kuil itu dikekalkan di kedudukan semasa,” kata pengerusi Save Seafield Sri Maha Mariamman Temple, S Ramaji.
Memorandum diserahkan oleh wakil Save Seafield Sri Maha Mariamman Temple, Selvam Krishnan, kepada pegawai tugas-tugas khas menteri, Norazmi Alimat.
Kuil Sri Maha Mariamman dirancang untuk berpindah ke satu tanah yang lebih luas yang terletak kira-kira 3km dari tempat sekarang, berdasarkan satu penghakiman persetujuan Mahkamah Tinggi melibatkan beberapa pihak termasuk kerajaan Selangor pada 2014.
Namun, Ramaji berkata kuil itu, yang dibina lebih 40 tahun lalu, mempunyai sejarah sebagai pusat komuniti India selama lebih kurang 146 tahun.
“Datuk M Mahalingam yang merupakan ahli Parlimen Subang pada 1989 telah mengatakan bahawa exco Selangor telah mempertimbangkan kuil tersebut dan bersetuju untuk mengekalkannya,” katanya.
Beliau juga mendakwa menteri besar Selangor juga memberi jaminan pada 14 April 1995, dan oleh itu kerajaan negeri perlu mengotakan janji.
Ramaji mengingatkan kerajaan perkara ini sudah menjadi isu yang menyentuh sensitiviti penganut Hindu.
Keputusan untuk memindahkan kuil itu dilihat sebagai satu penyelesaian yang memenangkan semua pihak. Selain pemaju dan kerajaan negeri, penyelesian itu turut dipersetujui 2 pihak yang menuntut pengurusan kuil itu, K Chellappa dan M Nagaraju.
Dalam penyelesaian itu, One City akan menyumbang RM1.5 juta untuk membina kuil baharu di salah satu daripada 2 bidang tanah yang diberikan One City kepada kuil itu.
Sebelum ini, Chellappa dinamakan sebagai pengurus kuil yang sah. Nagaraju kini tidak lagi bersetuju dengan penyelesaian itu dan mahu menghalang pemindahan tersebut.
Pemindahan kuil itu bulan lalu ditangguhkan kepada 22 November selepas pertembungan 6 jam dengan pemuja yang tidak membenarkan berhala utama dipindahkan.
Antara isu yang ditimbulkan oleh penentang pemindahan kuil itu ialah pokok beringin, yang menurut mereka berusia 147 tahun, dan dianggap suci oleh pemuja.