
Pengarah SPRM Kelantan, Ramli Ismail menyifatkan jumlah tangkapan itu agak membimbangkan kerana ia melibatkan golongan belia yang bakal menjadi peneraju negara pada masa depan.
“Pada 2002, Kajian Persepsi Rasuah di Malaysia yang dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melibatkan 494 pelajar mencatatkan 69.2% responden bersetuju menerima atau memberi rasuah, 30.5% sanggup menerima rasuah jika ada kuasa, 23.7% sanggup memberi rasuah untuk mengelakkan dikenakan tindakan dan 15% lagi sanggup memberi rasuah untuk melicinkan sesuatu masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Integriti Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan Naib Cancelor UMK, Prof Datuk Dr Husaini Omar dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rafi Yaacob.
Ramli berkata, senario masa kini selepas 16 tahun kajian tersebut dijalankan seolah-olah kajian itu menjadi kenyataan kerana lebih separuh daripada tangkapan rasuah SPRM kini melibatkan belia.
“Kita mahu pihak universiti menekankan modul-modul pengajian melibatkan integriti agar pendedahan mengenai rasuah ini dapat diterapkan kepada pelajar supaya kes rasuah melibatkan golongan belia ini tidak menjadi semakin parah.
“Sekurang-kurangnya dengan ada pendedahan secara berterusan bagi merangka kesedaran dalam golongan pelajar di peringkat universiti mengenai rasuah, saya percaya kes rasuah golongan belia ini akan berkurangan.”
Pada majlis itu, 23 kakitangan UMK menandatangani Ikrar Bebas Rasuah.