Hanipa: Pisah fungsi peguam negara dan pendakwa raya perlu sokongan pembangkang

Hanipa berkata, buat masa tiada jaminan pembangkang akan menyokong pindaan perlembagaan yang perlu dibuat.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk memisahkan fungsi pendakwa raya dan peguam negara sekiranya mendapat sokongan pembangkang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohamed Hanipa Maidin.

Beliau mengakui langkah memisahkan fungsi itu memerlukan pindaan terhadap perlembagaan persekutuan dan buat masa ini ia belum dapat dilakukan berikutan tidak yakin mempunyai sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun ia sudah bincangkan agak mendalam oleh pentadbiran sekarang dan yakin sekiranya ada jaminan pihak sana (pembangkang) setuju dengan kita dan perkara ini rasanya boleh kita pinda.

“Kita komited untuk buat perubahan besar ini dan sekiranya dapat sokongan tidak ada masalah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkenaan janji Pakatan Harapan (PH) untuk memisahkan fungsi pendakwa raya dan peguam negara.

Hassan bertanya sejauh manakah ia akan dilakukan dan sekiranya perlu pindaan perlembagaan persekutuan bilakah ia perlu dibuat.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan pemisahan fungsi pendakwa raya dan peguam negara terpaksa ditangguhkan buat masa ini.

Dr Mahathir berkata, ini kerana ia melibatkan pindaan terhadap perlembagaan persekutuan.

Pemisahan fungsi peguam negara dan pendakwa raya merupakan salah satu janji yang dimuatkan dalam manifesto pilihan raya PH.

Media sebelum ini melaporkan Hanipa berkata, pelaksanaan cadangan itu memerlukan pindaan terhadap Perkara 145 perlembagaan persekutuan, selain semakan semula undang-undang berkaitan kuasa pendakwa raya dan peguam negara yang diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah serta Akta Tafsiran 1948 dan 1967.

Terdapat 222 kerusi di Dewan Rakyat. PH, yang terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah memiliki 117 kerusi dengan sokongan 10 kerusi lain daripada parti Warisan dan Upko.

Untuk meminda perlembagaan, kerajaan PH memerlukan sekurang-kurangnya 148 undi menyokong daripada ahli Dewan Rakyat.