Putrajaya perlu tolak ICERD selepas ancaman cetus kekecohan, kata aktivis

Putrajaya perlu tolak ICERD selepas ancaman cetus kekecohan, kata aktivis

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menasihatkan kerajaan tidak menjadi juara semata-mata untuk kelihatan 'gah' di mata dunia sehingga mengabaikan keselamatan negara.

Dr Ahmad Farouk Musa berkata, kumpulan Melayu bersayap kanan seperti Gagasan Kuasa 3 cuba mencetuskan kekecohan ‘dengan agenda tersembunyi untuk menggulingkan kerajaan’.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis Islam yang menggesa kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) berkata, keputusan tidak menandatangani triti global itu adalah betul, susulan provokasi daripada pihak yang menentang cadangan itu.

Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa yang tidak terkejut dengan keputusan kerajaan itu berkata, perkara paling penting sekarang ialah keamanan dan kestabilan negara.

“Beberapa minggu lalu, kerajaan berbincang mengenai ratifikasi ICERD dan konvensyen lain Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan saya fikir kerajaan komited melaksanakannya.

“Keputusan tidak menerimanya secara tiba-tiba dijangkakan kerana nampaknya kumpulan Melayu bersayap kanan seperti Gagasan Kuasa 3 (G3) cuba mencetuskan kebencian kaum dan pertumpahan darah dengan mengimbau kenangan rusuhan 13 Mei,” katanya kepada FMT.

Beliau berkatal, kumpulan sayap kanan cuba mencetuskan kekecohan “dengan agenda tersembunyi untuk menggulingkan kerajaan”.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Malaysia tidak akan menerima ICERD, susulan bantahan kumpulan Melayu dan parti politik yang memberi amaran triti antarabangsa itu akan mengancam dasar tindakan afirmatif negara.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hasan meminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) berfikir dengan teliti, bukannya bertindak sebagai juara semata-mata untuk kelihatan “gah” di mata dunia sehingga mengabaikan keselamatan negara.

“Baguslah kalau kerajaan dah sedar kesilapan berkenaan ICERD kerana ICERD tidak akan mendatangkan apa-apa keuntungan kepada negara, bahkan dia lebih mendatangkan keresahan dan keadaan tak tenteram dalam negara.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan patut mempertimbangkan membuat apa jua langkah kerana ketenteraman awam dan keselamatan negara menjadi keutamaan kita.”

Sementara itu, bekas menteri pelancongan dan kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak menerima ICERD.

“Kami tahu Dr Mahathir tidak pernah mendesak perkara itu. Kami gembira sebab ICERD tidak perlu.

“Untuk ratifikasi bermakna ada usaha untuk menghapuskan hak istimewa orang Melayu, Sabah dan Sarawak. Jika kerajaan tidak berhasrat menghapuskan hak keistimewaan ini, jadi tidak perlulah menandatangani ICERD.”

Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan pendirian kerajaan itu ialah kejayaan bagi suara umat Islam, Melayu dan Bumiputera.

“Pemuda PAS hanya menunaikan kewajipan untuk agama dan tanah air. Ia sebagai amaran kepada kerajaan PH bahawa Pemuda PAS tidak akan berdiam diri apabila kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera cuba disentuh.”

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman memuji keputusan kerajaan itu dan mengingatkan Putrajaya supaya mendengar suara rakyat.

“Kerajaan perlu faham kerenggangan antara kerajaan dan rakyat tidak akan menguntungkan negara. Kerajaan juga harus sentiasa peka, tidak semua undang-undang antarabangsa memihak kepada kepentingan rakyat tempatan, ia sering membawa implikasi salah, apabila realiti tempatan tidak diambil kira.

“Sebagaimana meratifikasi ICERD akan membawa kesan tidak adil dan zalim terhadap hak-hak asal Bumiputera, padahal pada zahirnya ICERD kononnya untuk memberi keadilan.”

Ibrahim Ali (kiri, berbaju putih) mengetuai kira-kira 50 penyokong Perkasa berhimpun di perkarangan Masjid Ara Damansara bagi membantah ICERD, selepas sembahyang Jumaat hari ini.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak meratifikasi ICERD dan menyifatkan keputusan itu tepat pada masanya.

“Supaya tidak akan timbul apa-apa keresahan di kalangan rakyat jelata. Jangan lagi kita kecoh,” katanya yang mengetuai kira-kira 50 penyokong Perkasa mengadakan himpunan membantah ICERD di perkarangan Masjid Ara Damansara, selepas sembahyang Jumaat hari ini.

Beliau bagaimanapun menggesa rakyat mendalami dan memahami isu ICERD, walaupun kerajaan tidak menerima triti itu.

“Hari ini kerajaan tolak, kita tak dapat jamin tahun depan, 2, 3, 4 dan 5 tahun akan datang mungkin timbul balik, mungkin akan ditandatangani oleh kerajaan pada waktu itu.

“Ada negara Islam sudahpun menandatangani ICERD, tapi negara Islam lain beza dengan sejarah negara kita.

“Negara Islam lain ada negara beraja, rakyatnya 100% Islam, kaumnya 1 kaum, kalau ada kaum lain pun 2% atau 3% sahaja, tapi kita ni masyarakat majmuk,” katanya yang mengesahkan Perkasa tidak akan menyertai himpunan membantah ICERD anjuran PAS dan Umno pada 8 Disember ini.

“Kalau bercorak politik mungkin Perkasa tak turut serta. Himpunan seharusnya bercorak rakyat dan bendera parti politik tak harus dikibarkan. Ianya supaya semua rakyat akan keluar.”

Sementara itu, aktivis yang juga peguam, Siti Kasim yang menyokong ICERD secara terbuka dan membidas mereka yang menentangnya dengan alasan berlawanan Perlembagaan Persekutuan berkata, ia memalukan untuk Dr Mahathir berbuat demikian.

“Ini yang Tun kata di peringkat antarabangsa, negara kita akan mengesahkan ICERD.

“Sangat menyedikan untuk mendengar ini. Saya Rasa Tun sepatutnya mendapat nasihat daripada orang lain, bukannya mendengar kepada PAS dan Umno.

“Mereka (PAS dan Umno) hanya menggunakan ICERD untuk agenda sendiri. Jadi, saya rasa Tun sudah diberikan nasihat salah. Ia memalukan bagi kami yang Tun tiba-tiba memutuskan untuk melakukannya.

“Adakah kita menyerah diri kepada golongan Islamis dan Ketuanan Melayu? Di manakah Malaysia Baharu kita?

“Ramai yang tampil mengatakan ICERD tidak akan merampas hak Melayu. Tun sendiri yang kata kita akan meratifikasi konvensyen hak antarabangsa.

“Saya rasa ia agak terburu-buru untuk tampil dengan kenyataan ini.

“Saya rasa kita harus menemui Tun. Dia perlu mendengar pandangan kedua-dua pihak, khasnya ahli akademik dan peguam. Ia adalah hari menyedihkan bagi Malaysia. Saya sangat kecewa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.