Dalam senarai makanan Malaysia yang popular, nasi ayam, khususnya, nasi ayam Hainan berada di kedudukan yang setaraf dengan sajian-sajian tempatan lain seperti roti canai, nasi lemak, laksa dan mi kari.

Meskipun begitu, hidangan klasik ini jarang sekali dikaitkan dengan Malaysia kerana 2 faktor.

Faktor yang pertama ialah kita mempunyai terlalu banyak sajian yang sedap sehinggakan susah untuk nama-nama besar dalam industri makanan global memilih hanya satu makanan terbaik dalam senarai mereka.

Faktor yang kedua pula ialah Singapura. Oh tidak, saya bukan nak timbulkan perbalahan antara Singapura dan Malaysia dengan mengupas asal-usul nasi ayam kerana memang jelas nasi ayam berasal dari negara China.

Sebaliknya, saya nak tekankan mengenai 2 restoran nasi ayam Hainan yang telah dianugerahkan bintang Michelin iaitu Tian Tian Hainanese Chicken Rice dan Liao Fan Hong Kong Soya Sauce Chicken Rice and Noodle.

Jadi, memang tidak menghairankan kalau nasi ayam dikenali di seluruh dunia sebagai sajian kebangsaan Singapura. Apapun ini tidak bermakna apa-apa kerana terdapat soal yang lebih penting untuk dibicarakan.

Bukan Sekadar Nasi dan Ayam

Selepas tragedi rendang crispy, John Torode, salah seorang juri pertandingan memasak Masterchef UK kembali lagi mengegarkan industri kulinari global.

Isteri beliau, pelakon drama British, Lisa Faulkner berkongsi resepi nasi ayam Hainan dan resepi tersebut dipaparkan dalam majalah makanan Waitrose & Partners.

Perkara yang membuatkan ramai yang tidak puas hati kerana resepi yang diberi adalah 360 darjah berbeza daripada resepi nasi ayam Hainan yang kita tahu.

Memang menyedihkan apabila melihat resepi klasik seperti ini diubah suai menggunakan bahan-bahan bukan konvensional seperti daun bawang, cili, jus limau dan madu untuk menyediakan sos cili halia tipikal dalam penyediaan nasi ayam hainan.

Murah, banyak dan asli

Daripada bersedih dan menjadi ‘keyboard warrior’, lebih baik anda memujuk hati anda yang kecewa dengan sepinggan nasi ayam Hainan yang menyelerakan, murah, banyak dan semestinya asli di sekitar anda.

Di sini, kami menyenaraikan 5 lokasi nasi ayam hainan yang murah, banyak dan asli di Lembah Klang.

Nasi Ayam Hailam Damansara

Anda mencari nasi ayam yang halal dan mengikut resepi nasi ayam Hainan yang asli, Nasi Ayam Hailam Damansara ialah tempat yang anda patut tuju.

Halal dan murah, anda diberi tiga jenis pilihan ayam untuk dinikmati iaitu ayam panggang, ayam rebus dan ayam madu pada harga RM 8 sepinggan. Memang berbaloi!

A: 102, Jalan SS 21/39, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Selangor

Nasi Ayam Hainan Chee Meng

Berdasarkan pada nama restoran ini, pasti pembaca yang beragama Islam berasa was-was untuk makan di sini.

Jangan risau! Restoran nasi ayam ini merupakan restoran yang disahkan halal oleh Jakim. Semua bahan dan peralatan yang digunakan semestinya berpandu konsep ‘halalan toyibban’. Selain itu, keistimewaan restoran nasi ayam ini ialah resepi yang digunakan sejak dari tahun 1965 lagi tidak berubah sehingga sekarang. Oleh sebab itulah, rasa dan kuantiti nasi ayam di restoran ini masih konsisten serta menjadi tumpuan peminat nasi ayam Hainan.

Sememangnya satu warisan makanan yang wajib anda kunjungi.

A: 50, Jalan Bukit Bintang, Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur
M: +6011 2413 0863
W: http://cheemeng.com.my/

CRG Chicken Rice Guys

Restoran ketiga dalam senarai ini ialah restoran nasi ayam paling popular di Shah Alam. Restoran CRG Chicken Rice Guys merupakan restoran nasi ayam Hainan halal yang berazam untuk menyediakan nasi ayam Hainan yang asli dan seperti yang dijual di kedai-kedai nasi ayam tidak halal yang lain. Selain daripada nasi ayam, mereka juga terkenal dengan nasi itik mereka. Itu satu menu yang wajib dicuba!
Oleh sebab itulah restoran ini sentiasa dipenuhi pelanggan. Namun begitu, anda kena datang awal jika anda mahu makan di sana kerana kedai ini tutup awal iaitu pada pukul 7 malam.

A: 40, Jalan Zirkon 7f/F, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor
M: +6013-333 1950
W: https://crgchickenriceguys.business.site/

Simple Chicken Rice by Uncle Lim

Kalau anda mahu mencuba nasi ayam Hainan yang asli, halal dan disediakan menggunakan resipi turun-temurun, inilah restoran untuk anda! Walaupun diuruskan oleh pasangan suami isteri berbangsa Cina, restoran ini mementingkan kebersihan dan kualiti makanan yang disediakan agar masakan mereka dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Dengan hanya RM 8, anda dapat menikmati nasi ayam hainan bersaiz hidangan besar. Memang sangat berbaloi. Jika anda ingin ke sana, gunakan maklumat di bawah sebagai panduan!

Oh, ya. Seperti restoran CRG, restoran ini juga tutup awal setiap hari iaitu pada pukul 6. Pastikan anda rancang masa untuk ke sana betul-betul supaya tidaklah anda pulang dengan hati kecewa dan perut kosong.

A: 88, Jalan SS 14/1, Ss 14, 47500 Subang Jaya, Selangor
M: +6011 6169 2600

Restoran Cozy Corner

Restoran kelima dan terakhir dalam senarai ini adalah sebuah restoran yang terletak di Ampang Point. Walaupun tidak menyediakan sajian nasi ayam secara eksklusif tetapi restoran ini dikenali oleh penduduk sekitar sebagai restoran yang menyediakan nasi ayam Hainan terbaik di Ampang. Halal tetapi sedikit mahal, saiz hidangan nasi ayam yang disajikan di sini sememangnya besar dan cukup berbaloi dengan harga yang diletakkan. Sekali makan, memang nak lagi!

A: Ampang Point Shopping Centre, 68000 Kuala Lumpur, Malaysia
M: +603 4260 2323
FB: https://www.facebook.com/since1978atampangpark/

Artikel ini pernah disiarkan dalam www.butterkicap.com