
Exco pemberdayaan dan pembangunan sosial ekonomi dan kerajaan prihatin itu membuat permohonan maaf itu di Dewan Negeri Selangor.
“Selepas mendapat nasihat banyak pihak khususnya barisan kerajaan dan pembangkang saya telah menukar kenyataan saya daripada kumpulan Islam kepada kumpulan gengster dan saya juga ingin mohon maaf kerana menyinggung perasaan mana-mana pihak,” katanya.
Ganabatirau dikecam selepas didakwa mengatakan “Muslim group” atau kumpulan orang Islam menyerang kuil dalam satu catatan Facebook. Menurut laporan media, Ganabatirau kemudian menyunting catatan itu, menggantikan “Muslim group” kepada “group of gangsters” atau sekumpulan samseng.
Ketua Pembangkang Rizam Ismail pada sidang media hari ini menyambut baik permohonan maaf itu, dan berharap perkara seperti itu tidak berulang.
“Kes ini kes terpencil antara pemaju dan pihak kuil, tetapi kerana ada kesilapan kenyataan yang akhirnya menyebabkan salah faham sehingga mewujudkan huru-hara, kerosakan dan kecederaan kepada orang awam serta pihak berkuasa,” katanya.
Rizam berkata kerajaan harus memastikan tiada lagi kenyataan-kenyataan sebegitu dikeluarkan di masa depan.
Beliau juga berkata kerajaan negeri seharusnya menjadi perantara dalam menyelesaikan perkara terbabit.
“Kita juga harap polis dapat ambil tindakan sekerasnya kepada dalang yang menyebabkan berlakunya rusuhan,” katanya.