Anak anda sukar makan, cuba cara ini

Anak anda sukar makan, cuba cara ini

Memperkenalkan makanan kepada anak kecil merupakan satu seni keibubapaan.

Susahnya membuatkan si kecil makan, apatah lagi sayur-sayuran!

Itu rungutan yang biasa dalam kalangan ibu bapa. Memperkenalkan makanan kepada anak kecil merupakan satu seni keibubapaan dan diet yang baik dengan nutrisi seimbang penting untuk perkembangan kanak-kanak.

Menurut satu laporan di CNN memetik pakar pembangunan kanak-kanak, Rini Sekartini dari Universiti Indonesia, kanak-kanak cenderung memilih dan menolak makanan tertentu.

Manakala laman web mamanatural.com pula menulis, urusan makan bagi kanak-kanak seharusnya dikendalikan sebagai urusan peribadi mereka.

“Jangan pandang, merayu atau menggalak mereka makan. Lebih banyak anda paksa lebih kuat mereka menolak. Jadi biarkan mereka dan makanan mereka. Pada satu-satu masa, mereka akan makan mengikut keselesaan mereka,” tulisnya.

Kembali kepada Profesor Rini Sekartini, beliau akui kanak-kanak cenderung memilih makanan kerana beberapa sebab, bermula dari pendedahan kepada makanan yang tidak berbeza-beza dan tidak sesuai dengan umur, keperibadian kanak-kanak yang tidak mahu mencuba, persekitaran seperti diet ibu bapa, sehingga ada tekanan semasa proses makan berlangsung.

Jadi ibu bapa harus menanganinya supaya mengelak kanak-kanak ini daripada mengalami kekurangan zat makanan yang turut menghalang kepada perkembangan mereka.

Berikut adalah antara tips yang dipetik dari laman mamanatural.com untuk kanak-kanak bermasalah makan.

1 Tetapkan waktu makan, 3 hidangan satu snek

Sama seperti dewasa, mereka juga kena makan ikut waktu. Barulah kanak-kanak ini akan mengembangkan disiplin selain merehatkan mereka di antara waktu makan yang boleh membuatkan mereka terasa lapar.

2 Pimpin mereka makan sendiri

Seeloknya biarkan anak-anak menikmati sendiri makanan yang dihidang kepada mereka berbanding dengan amalan menyuap. Percayalah, kanak-kanak cederung makan lebih banyak apabila mereka makan dengan sendiri. Ia juga mengajar mempertingkatkan sikap kendiri mereka.

3 Ubah pemandangan tempat makan, sediakan bahan bantuan

Ubah tempat makan anak anda menghala ke tingkap atau akuarium ikan atau mana-mana sudut yang menarik. Mungkin kecenderungan makan akan meningkat apabila dia melihat persekitaran yang baru. Gunakan sudu atau pinggan berhias kartun, haiwan dan sebagainya yang menarik perhatianya.

4 Beri keutamaan kepada anak memilih dan menyediakan makanan

Sertakan anak anda dalam proses memilih dan memasak makanan. Biar mereka memberi input misalnya dalam mengatur makanan dalam pinggan.

5 Makanan berwarna dan pelbagai rupa bentuk

Lazim diperkatakan, kanak-kanak pasti akan tertarik dengan makanan berwarna-warni dan pelbagai bentuk. Cuba amal pendekatan kreatif dengan menyediakan makanan yang mempunyai warna terang dan ceria. Kanak-kanak pasti akan tertarik.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.