
Katanya, calon untuk mengisi jawatan itu sudah dikenal pasti, tetapi pihaknya sedang menunggu pandangan Bank Negara Malaysia (BNM).
Beliau memberi jaminan calon itu bukannya ahli politik, tetapi profesional yang terbabit dalam pengurusan bank di peringkat antarabangsa.
“Kalau boleh nak umum semalam, tapi sebab ikut prosedur BNM, jadi tak mahu buat keputusan melulu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
“Kita masih dalam proses pembentukan lembaga pengarah untuk memenuhi visi kita dalam hala tuju membangunkan perniagaan yang boleh dimudahcarakan oleh Bank Rakyat.
“Jadi nak laksanakan, kita kena ada orang yang ada kepakaran bukan sebarangan.”
Isnin lalu, Redzuan mengumumkan pemecatan Shukry sebagai pengerusi Bank Rakyat serta-merta, susulan pembabitannya dalam laporan audit 1MDB.
Beliau dilaporkan berkata, sebarang keputusan yang memberi implikasi kepada Bank Rakyat sepanjang perkhidmatan Shukry sebagai pengerusi Bank Rakyat akan disemak semula dan dibatalkan, jika ia menjejaskan kepentingan bank itu.
Redzuan hari ini berkata, Shukry dipecat untuk memelihara nama baik Bank Rakyat.
“Shukry mungkin ada kepakaran sendiri, namun tak menepati agenda yang kita bawa. Umum tahu apa yang berlaku adalah pengkhianatan besar pada sesiapa saja yang menukar laporan audit.”
Ahad lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dilapor mendedahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda dengan menggugurkan 2 perkara penting di dalamnya, iaitu kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada September 2009 dan status kewangan 1MDB.
Katanya, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tahu mengenainya kerana Ketua Setiausaha Sulitnya ketika itu, Shukry yang mengarahkan pindaan itu dibuat pada 26 Februari 2016, atas alasan ia sensitif dan untuk mengelakkan fakta diputar belit pembangkang ketika itu.