Kiandee, Mas Ermieyati setia atau khianat?

Kiandee, Mas Ermieyati setia atau khianat?

Kehadiran dua pemimpin tertinggi Bersatu ke perhimpunan pasca pemecatan Hamzah Zainudin timbul persoalan tahap kesetiaan terhadap kepimpinan.

Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin hadir dalam perhimpunan selepas Hamzah Zainudin dipecat parti.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin mungkin berada dalam radar kepimpinan parti apabila hadir pertemuan digerakkan pasca pemecatan Hamzah Zainudin, Sabtu lalu.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, kehadiran dua pemimpin tertinggi Bersatu ke perhimpunan itu menimbulkan persoalan tahap kesetiaan terhadap kepimpinan tatkala parti berdepan krisis dalaman.

“Nama Kiandee dan Mas Ermieyati mula disebut, menimbulkan persoalan tentang darjah kesetiaan mereka. Dalam budaya politik kepartian, langkah yang dilihat menyimpang jarang dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.

“Mereka mungkin berdepan penggantungan, kehilangan jawatan atau dipinggirkan daripada arus utama,” katanya kepada FMT.

Zaharuddin turut menyifatkan setiap gerakan dibuat oleh pimpinan ketika ini boleh ditafsir sebagai tanda kesetiaan atau pengkhianatan.

“Kehadiran di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya menjadi pentas kecil dengan implikasi besar terhadap masa depan politik mereka,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, berkata parti sedang mengumpul maklumat berhubung perhimpunan Sabtu lalu dihadiri Hamzah yang baru dipecat sebagai timbalan presiden.

“Semua maklumat ini akan dibentangkan dalam biro politik untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya dalam tangkap layar kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi yang tular.

Dalam tangkap layar sama, terdapat pemberitahuan menyatakan Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp itu.

Mas Ermieyati dan Kiandee hadir dalam perhimpunan tersebut.

Hamzah dalam perhimpunan itu melancarkan serangan terbuka terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Azmin memberi amaran kepada ahli parti supaya tidak menyertai perhimpunan dianjurkan oleh mereka yang dipecat.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata amaran Azmin serta pemecatan wakil rakyat secara beramai-ramai dijangka membawa kesan politik yang besar dan berpotensi mencetuskan krisis dalaman serius dalam Bersatu.

Katanya, langkah drastik itu bukan sahaja gagal meredakan ketegangan, malah berkemungkinan mempercepatkan perpecahan dalam Bersatu.

“Jika dilihat pada pesanan WhatsApp itu, kelihatan pucuk pimpinan Bersatu akan bertindak tegas. Hampir pasti mereka yang hadir berdepan tindakan disiplin dan akan dipecat,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini Bersatu kelihatan semakin melemah manakala Muhyiddin bakal kehilangan momentum apabila dijangka 70% ahli dan pemimpin akan keluar parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.