Pihak pendakwaan serah 80% dokumen kes Najib, Irwan Serigar pada pembelaan

Pihak pendakwaan serah 80% dokumen kes Najib, Irwan Serigar pada pembelaan

Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, pihaknya akan menyerahkan baki dokumen berkaitan kes itu yang akan digunakan untuk perbicaraan secepat mungkin.

Najib Razak dan Irwan Serigar Abdullah mengaku tidak bersalah terhadap 6 pertuduhan pecah amanah pada 25 Oktober lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu hampir 80%, iaitu 224 dokumen berkaitan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah yang didakwa atas 6 tuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM6,636,065,000 sudah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Perkara itu dimaklumkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam prosiding sebutan semula kes itu di depan Hakim Azman Ahmad.

Sri Ram berkata, pihak pendakwaan akan menyerahkan baki dokumen berkaitan kes itu yang akan digunakan untuk perbicaraan secepat mungkin.

Beliau turut memaklumkan pihak pembelaan sudah memfailkan permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan pengurusan kes ditetapkan 9 pagi esok di depan Timbalan Pendaftar, Nurliana Ismail.

Azman menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes. Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dan Datuk K Kumaraendran serta Datuk Geethan Ram Vincent bertindak bagi pihak Irwan Serigar.

Pada 25 Oktober lalu, Najib dan Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas 6 tuduhan pecah amanah.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama sebagai penjawat awam, iaitu menteri kewangan dan ketua setiausaha perbendaharaan, masing-masing dalam kapasiti tersebut sudah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta sejumlah RM1.2 bilion milik kerajaan, melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Mengikut pertuduhan ke-2, Najib dan Irwan Serigar didakwa bersama melakukan pecah amanah ke atas harta kerajaan bernilai RM655 juta.

Bagi pertuduhan ke-3, mereka didakwa melakukan pecah amanah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)” milik kerajaan.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama melakukan pecah amanah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan ke-5 dan ke-6, mereka didakwa melakukan pecah amanah 1,950,000,000 yuan (kira-kira RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik kerajaan.

Najib dan Irwan Serigar dituduh melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 21 Disember 2016 bagi pertuduhan pertama dan ke-2, pada 3 Ogos 2017 bagi pertuduhan ke-3, manakala pertuduhan ke-4 hingga ke-6 pada 10 Ogos 2017, 23 Ogos 2017 dan 18 Dis 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.