Musuh Sarawak sebenar bukan PPBM

Pada 1 Disember 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan PPBM Sarawak di Bintulu. Pelancaran ini menjadi perbualan hangat warga internet Sarawak dan mencetus reaksi yang pelbagai. Apa yang menarik perhatian saya adalah naratif “tidak mahu dibuli orang Semenanjung” yang dilaungkan sesetengah pihak rentetan kemasukan PPBM ke Sarawak.

Jadi persoalan saya kepada mereka, sedar atau tidak kita sebenarnya sudah lama dibuli anak jati Sarawak itu sendiri? Sedar atau tidak kita sudah termakan dakyah politik pihak yang berkepentingan? Sedarkah kita yang sebenarnya telah merompak kekayaan kita adalah anak Sarawak sendiri dan bukan orang Semenanjung? Lihat sahaja kemewahan hidup Ahli Parlimen dan Adun di Sarawak.

Jadi dimanakah asas kepada kebencian kita ini?

Sebenarnya, di Sarawak, golongan yang sering menjadi ejen menyebarkan benih-benih kebencian terhadap orang Semenanjung ini terbahagi kepada 3:

1. Golongan “warlords” yang tidak mahu melepaskan kuasa.

2. Golongan ahli perniagaan yang mengaut keuntungan daripada “warlords”.

3. Golongan ahli keluarga dan sanak-saudara terdekat yang kenyang menerima manfaat daripada golongan pertama dan kedua.

Ketiga-tiga golongan ini hanyalah mahu menjaga periuk nasi sendiri. Sayang seribu kali sayang, hanya segelintir sahaja daripada wakil rakyat ini yang benar-benar mengambil berat dengan kebajikan rakyat Sarawak.

Kita juga harus ingat alasan seperti tidak mahu parti Semenanjung masuk ke Sarawak sebenarnya sudah lapuk kerana parti seperti PKR, DAP dan PAS sudah lama melebarkan sayap di Sarawak.

Bahkan kemasukan PPBM ke Sarawak sepatutnya kita lihat dari sudut pandang positif kerana ia akan mewujudkan persaingan sihat terutamanya kepada parti yang sudah lama berkuasa di Sarawak. Persaingan ini lah yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

Kuasa ditangan rakyat Sarawak

Selain daripada itu, kita juga mengamalkan prinsip demokrasi dimana kuasa memilih dan memecat pemimpin berada dalam tangan kita. Jika PPBM bukan parti yang kita kehendaki dalam mewakili suara rakyat, maka tidak perlulah memangkah mereka di pilihanraya negeri yang akan datang. Mudah bukan?

Nasihat saya, jika benar kita cintakan Ibu Pertiwi Ku ini, maka bangkitlah melawan musuh dalam selimut yang sudah lama bertapak di sini. Janganlah kita membuang masa dengan kebencian yang tidak berasas terhadap orang Semenanjung sehingga kita lupa siapa perompak sebenar.

Ingatlah, kuasa kini di tangan rakyat. Kejatuhan rejim Barisan Nasional pada pilihan raya yang lepas berjaya membongkar pelbagai skandal dan politik rasuah yang sudah terlalu lama tertimbus. Jika rakyat Sarawak tidak mahu bangkit melawan koruptor di tanah sendiri, maka tiada yang dapat mengubah nasib kita disini.

Saya yakin anak-anak Sarawak akan bijak membuat keputusan di pilihan raya negeri yang akan datang.

Sharifah Sakinah Syed Alwi adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.