Najib, Rosmah berarak bersama ribuan peserta bantah ICERD

Bekas perdana menteri, Najib Razak berarak bersama orang ramai dalam himpunan membantah ICERD.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kelihatan turut hadir dalam himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) di bu negara, petang ini.

Beliau yang memakai baju Melayu berwarna putih beserta songkong hitam turut diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau dan Rosmah turut berarak bersama ribuan peserta pada jam 2.10 petang dari Masjid Jamek di sini ke Dataran Merdeka.

Selain Najib dan Rosmah, turut serta berarak adalah pemimpin Umno yang lain, antaranya Datuk Seri Shabery Cheek, Datuk Seri Ahmad Said dan Tan Sri Shahrir Samad.

Himpunan yang dianjurkan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan disokong Umno dan PAS itu pada mulanya bermatlamat membantah hasrat kerajaan meratifikasinya.

Ia kemudiannya ditukar kepada “himpunan kesyukuran” susulan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan hasrat itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan terus mempertahankan perlembagaan Persekutuan yang termaktub di dalamnya kontrak sosial yang dipersetujui wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.