
“Lembaga baru ini terdiri daripada kalangan individu yang berpengalaman luas dan berpengetahuan dalam perfileman, karyawan, perakaunan dan perundangan,” kata menterinya, Gobind Singh Deo dalam kenyataan hari ini.
Kementerian mengumumkan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM, Datuk Samsuni Mohd Nor dilantik sebagai pengerusi agensi kerajaan untuk industri filem itu, dan seorang penasihat undang-undang, Affendy Ali Dally, dilantik sebagai timbalan.
Turut diumumkan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Mohd Ali Mohamad Nor dan wakil Kementerian Kewangan, Siti Juraini Jalaludin sebagai wakil-wakil kementerian.
Bagaimanapun, kementerian tidak mengumumkan ketua pengarah baharu Finas, sebaliknya hanya meletakkan nama pemangku ketua pengarah, Shakib Ahmad Shakir, dan pemangku timbalan Fairul Azida Shahabudin.
Turut membarisi lembaga adalah Rashid Karim, Hasnul Hadi Samsudin, Onn Norshal Hamzah, Mohan Rao, Salwah Shukor dan Andrew Tai.
Mereka dinasihati panel yang terdiri daripada ahli-ahli yang berpengalaman dalam industri filem, iaitu Ku Mohamad Haris Ku Sulong, Nasrul Suhaimin Saifuddin @ Bront Palarae, Mohamed Harun Abdul Rahman, Wee Meng Hee, Nadira Ilana, Juhaidah Joemin, Anna Har, Adrian Teh, Syafiq Yusof, Mohamad Ghazali Jeman dan Shanjhey Kumar Perumal.
“Kementerian berharap ahli-ahli lembaga pengarah ini dapat berkerjasama untuk meningkatkan prestasi Finas demi menjayakan industri ini sehingga ke pentas dunia pada masa akan datang,” kata Gobind.
Sebelum ini, FMT melaporkan pengkarya menggesa kementerian itu mengumumkan barisan baru kepimpinan Finas selepas pengunduran diri bekas pengerusi, Datuk Khusairi Abdul Talib yang bertindak meletak jawatan kurang seminggu selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.