TH umum pelan pemulihan, aset RM19.9 bilion dipindahkan

Zukri Samat berkata, aset itu akan dipindahkan ke SPV menjelang 31 Disember ini.

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelan pemulihan untuk memindahkan aset bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan pada tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, ia merangkumi harta hasil di bawah 2% setahun seperti tanah yang dibeli daripada 1MDB pada 2015 dan ekuiti yang merosot 20% sejak diambil alih TH, termasuk saham dalam Felda Global Ventures (FGV).

“Nilai aset ini berdasarkan nilai buku,” katanya pada sidang media khas di Menara TH hari ini.

Beliau berkata, 80% daripada RM19.9 bilion aset itu terdiri daripada ekuiti dan selebihnya hartanah.

Katanya, aset itu akan dipindahkan ke SPV menjelang 31 Disember ini.

Sementara itu, Zukri yakin TH dapat memberikan dividen kepada 9.2 juta pendepositnya tahun ini, walaupun ia berdepan masalah penyelewengan dan tadbir urus.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan kadar dividen itu.

“Tahun 2018 belum lagi berakhir dan kita juga belum diaudit, tapi saya positif akan ada dividen.”

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa ketika membentangkan akaun TH mendedahkan aset keseluruhan TH ialah RM70.3 bilion dengan liablitinya berjumlah RM74.4 bilion.

Katanya, laporan juruaudit bebas mendapati TH mengalami defisit RM4.1 bilion setakat 31 Disember 2017 dan pembayaran hibah tahun lalu melanggar Akta TH 1995.

Zukri berkata, terdapat 2 kriteria dalam pemberian dividen kepada pendeposit TH, iaitu jumlah aset perlu melebihi liabiliti dan ianya mesti menguntungkan.

“Tahun 2018 ini kita melakukan penstrukturan dan selepas ianya selesai, jumlah aset itu akan sama dengan liabiliti, jadi kita telah memenuhi kriteria pertama.

“Kriteria ke-2 adalah kita mesti membuat keuntungan.”

Katanya, setakat ini, tiada pendeposit mengeluarkan simpanan mereka, susulan pendedahan semalam.

“Orang ramai masih menyokong kita dan saya diberitahu hari ini sahaja, 170 orang membuka akaun TH.”