Persiapan musim haji 2026 lancar, penerbangan pertama kekal 18 April

Persiapan musim haji 2026 lancar, penerbangan pertama kekal 18 April

Menteri Agama Zulkifli Hasan berkata TH sedia pelan luar jangka bagi berdepan sebarang kemungkinan susulan krisis Asia Barat.

jemaah haji malaysia
Malaysia mendapat kuota tahunan sebanyak 31,600 termasuk bagi musim haji tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penerbangan pertama jemaah Malaysia ke tanah suci untuk musim haji 2026 pada 18 April ini diteruskan mengikut perancangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Zulkifli berkata Lembaga Tabung Haji (TH) turut bersiap sedia dengan pelan luar jangka yang baik bagi mendepani sebarang kemungkinan susulan krisis Asia Barat yang masih belum reda, lapor Berita Harian.

“Apa saya boleh rumuskan setakat ini, rancangan haji ‘on track’, berjalan seperti yang kita rancang. Insya-Allah doakan penerbangan pertama akan terbang ke Tanah Haram pada 18 April.

“Daripada aspek lain, TH sudah mempunyai pelan kontigensi yang sangat baik. Ini kelebihan negara kita kerana ada pengurusan haji terbaik di dunia,” katanya Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Beliau berkata, hasil lawatannya ke Makkah dan Madinah baru-baru ini bagi menghadiri mesyuarat bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Fawzan Al-Rabiah turut menunjukkan perkembangan yang positif, terutama berkaitan persiapan haji bagi jemaah tanah air.

“Jadi hasil lawatan ( bagi melihat persiapan) untuk jemaah kita di Makkah dan Madinah, persiapan rapi dan teliti (telah dibuat), Alhamdulillah, malah ia lebih baik dari tahun sebelumnya,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia mendapat kuota tahunan sebanyak 31,600 termasuk bagi musim haji tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, dalam satu kenyataan memaklumkan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke tanah suci dijadualkan bermula pada 18 April ini, manakala terakhir 20 Mei dengan hari wukuf dijangka 26 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.