Angkasawan Rusia jumpa lubang pada kapal angkasa

Angkasawan Rusia jumpa lubang pada kapal angkasa

Lubang pada badan kapal angkasa Soyuz MS-09 yang mengakibatkan kebocoran tekanan pada Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.

Kapal Angkasa Soyuz Rusia menjadi satu-satunya kenderaan untuk penerbangan angkasa lepas menghubungkan ISS dengan Bumi.
MOSCOW:
Angkasawan Rusia, Oleg Kononenko dan Sergey Prokopyev menemui lubang pada badan kapal angkasa Soyuz MS-09 yang mengakibatkan kebocoran tekanan pada Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) sewaktu mereka kali pertama keluar dari kapal itu pada Ogos lalu, kata Pusat Kawalan Misi Rusia (MCC), Rabu.

Menurut agensi berita Xinhua, Ketua Agensi Angkasa Lepas Rusia (Roscosmos), Dmitry Rogozin menerusi Twitternya pada Selasa berkata “tindakan keluar berjalan di luar kapal angkasa itu adalah kali pertama berdasarkan tahap kompleksiti tugasan itu.”

“Mulanya Kononenko membuka lapisan penebat termal kedap udara yang menjadi pelindung meteorit. Selepas itu dia memotong lapisan pelindung itu dengan ragum. Dia memotong bahagian yang rosak itu (kepingan kira-kira 8×8 inci),” kata MCC yang dipetik agensi berita Sputnik.

Kononenko terpaksa mengambil 2 sampel dari kawasan lubang itu dan kemudian membuat tampalan sebelum mengikatnya dengan klip. Sampel itu kemudiannya dibawa pulang ke Bumi untuk kajian lanjut.

Pada Ogos lalu, angkasawan ISS menemui retak mikro pada kapal angkasa Soyuz MS-09. Retak itu berjaya ditampal dari dalam tanpa memerlukan angkasawan keluar dari kapal.

Kapal Angkasa Soyuz Rusia kini menjadi satu satunya kenderaan untuk penerbangan angkasa lepas menghubungkan ISS dengan Bumi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.