Mujahid tidak hirau kritikan, tetap teruskan rancangan pulihkan TH

Mujahid tidak hirau kritikan, tetap teruskan rancangan pulihkan TH

Kita tetap dengan rancangan kita dan yang penting TH dapat dipulihkan dan pendeposit serta umat Islam dapat servis yang lebih baik daripada kita, katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
SEPANG:
Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata beliau tidak hirau dengan sebarang kritikan dan tetap akan meneruskan rancangannya dalam memulihkan Lembaga Tabung Haji (TH) selepas dilaporkan mengalami defisit RM4.01 bilion, tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata penafian bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkenaan defisit itu perkara biasa.

“Macam saya kata, kita tetap dengan rancangan kita dan yang penting TH dapat dipulihkan dan pendeposit serta umat Islam dapat servis yang lebih baik daripada kita.

“Selain daripada itu apa yang orang kata biasalah. Kita teruskan dengan TH punya rancangan,” katanya pada sidang media di Bilik Khas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azeez yang menolak laporan juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) yang badan berkanun itu mengalami defisit sebanyak RM4.01 bilion, tahun lalu.

Azeez berkata, PwC tidak mengambil kira laporan Ernst and Young dalam menilai nilai pasaran semasa aset keseluruhan TH yang merangkumi anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanahnya.

Pada 10 Disember lalu, Mujahid dilaporkan berkata, pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 melanggar Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion berakhir 31 Disember 2017.

Katanya, pemberian hibah perlu memenuhi 2 syarat utama, iaitu aset TH perlu melebihi liabiliti dan ia perlu menjana keuntungan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Azeez berkata, laporan disahkan firma audit luar menunjukkan nilai aset TH melebihi semua liabiliti sejak 3 tahun lalu.

Katanya, nilai sebenar aset adalah nilai pasaran semasa dan bukan nilai kos pelaburan asal.

Mujahid enggan mengulas mengenai cadangan beberapa pihak supaya TH menubuhkan suruhanjaya diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam TH.

Saya baru balik dari Mekah bertemu dengan menteri. Tujuan sidang media hari ini adalah untuk maklumkan apa hasil mesyuarat kita,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat penyelewengan TH.

Mujahid juga mengulas doa memohon dipendekkan hayat kerajaan PH atas kapasiti sebagai orang Islam doa sepatutnya digunakan untuk kebaikan.

“Ini bukan saya komen sebagai ahli politi ke apa. Tapi sebagai orang muslim, doa ini adalah untuk kebaikan. Jadi kalau ada orang doa untuk keburukan itu saya tak tahulah apa dia punya niat,” katanya.

Pada 8 Disember lalu, PAS pada “perhimpunan kesyukuran” bagi menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) di Dataran Merdeka membaca doa supaya Allah memendekkan tempoh hayat kerajaan PH.

Ia dibaca pada sesi penutup perhimpunan itu oleh Anggota Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh yang diaminkan oleh ribuan peserta.

Nik Zawawi juga berdoa agar pengundi muda yang memberi undi PH sebelum ini supaya “kembali ke pangkal jalan”.

Dalam perkembangan lain, Mujahid yang baru balik daripada perjumpaan dengan wakil kerajaan Arab Saudi berkata kuota jemaah haji akan dikekalkan seperti sebelum ini, iaitu 30,200.

Tetapi pada masa sama, Mujahid berkata akan berusaha untuk menambah kuota itu berikutan pertambahan populusi penduduk yang mencecah 31 juta orang.

“Kita sedang tunggu reaksi kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.