
PETALING JAYA:Keterbukaan PPBM menerima wakil rakyat Umno yang keluar parti itu meletakkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan berisiko.
Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tindakan itu juga akan membuka ruang untuk Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri diserang pemimpin DAP dan PKR.
“Ia boleh mengocak ketenangan dalam PH dengan membuka ruang kepada perdana menteri untuk diserang oleh pemimpin DAP dan PKR.
“Lebih-lebih lagi apabila pemimpin DAP sudah banyak kali mendesak kerajaan menggubal akta anti lompat parti,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas trend kemasukan wakil Umno ke dalam PPBM.
Kamarul yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, DAP akan bertindak balas dengan pelbagai cara apabila merasakan kedudukan mereka tergugat.
“DAP tentu akan buat sesuatu bila rasa tergugat.
“Tambahan pula dengan beberapa pendirian terbaru perdana menteri yang tidak menyenangkan DAP seperti dalam isu ICERD dan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT),” katanya merujuk kepada keputusan kerajaan menolak untuk mreatifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan cadangan mengadakan semula pilihan raya PBT.
Sebelum ini beberapa wakil Umno diterima masuk ke dalam
PPBM, termasuk Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Terbaru, 36 pemimpin Umno Sabah mengisytiharkan keluar parti, termasuk 9 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), 4 Ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian Umno atas alasan kepimpinan Umno Pusat tidak bersatu, tidak mempunyai hala tuju politik jelas dan sering bercanggah pendapat
Sehubungan itu, Dr Mahathir juga mengakui pimpinan Umno Sabah ada bertemu beliau seminggu sebelum membuat keputusan meningalkan parti itu.
Keterbukaan PPBM menerima wakil rakyat Umno itu dibidas pemimpin DAP yang mendakwa Dr Mahathir sudah 2 kali melanggar janji apabila menerima bekas pemimpin Umno.
Setiausaha DAP Selangor Ronnie Liu berkata, beliau pernah mendengar Dr Mahathir menggelar pemimpin Umno sebagai “tidak berguna” dan “sampah” sewaktu pertemuannya dengan beberapa aktivis dan NGO sebelum ini.
Tambah Ronnie, Dr Mahathir akan dilihat sebagai pengkhianat kepada pengundi dalam pilihan raya umum Mei lepas yang berhasrat menumbangkan kerajaan diketuai Umno, sekiranya terus membawa “katak” dari Sabah yang meninggalkan Umno untuk menyertai PPBM.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKR menolak permohonan beberapa bekas wakil rakyat Umno Sabah untuk menyertai parti itu demi menghormati semangat PH dan mempertahankan agenda reformasi gabungan itu.
Ketua Biro dan Strategi Dasar PPBM, Datuk Rais Hussin tampil meredakan keadaan apabila memaklumkan parti itu belum memutuskan sama ada akan menerima kemasukan bekas pemimpin Umno Sabah yang keluar parti beramai-ramai itu.
Katanya, keputusan akan dibuat selepas berunding dengan parti komponen PH dan sekutu mereka di Sabah.
Sertai Warisan untuk redakan kemarahan DAP, PKR
Dalam perkambangan sama, Kamarul berkata, langkah terbaik untuk meredakan kemarahan DAP dan PKR kepada Dr Mahathir, ialah dengan wakil rakyat Umno Sabah yang keluar parti tersebut menyertai Warisan.
Ia satu langkah tepat kerana Warisan bukanlah gabungan PH sebaliknya hanya berdiri sebagai sekutu kerajaan.
“Untuk redakan sikit keadaan, Dr Mahathir perlu serahkan kepada Warisan semua ahli dan wakil rakyat Umno Sabah sebab Warisan bukan gabungan PH,”katanya.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik berpandangan, kemasukan wakil rakyat Umno ada baik dan burukknya kepada PH.
Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, dari sudut posotifnya, ia dapat merapatkan jurang perbezaan kerusi PPBM, yang dilabel sebagai parti nyamuk, dengan PKR dan DAP.
Katanya, kemasukan pemimpin Umno ke dalam PPBM juga bertujuan menambah jumlah kerusi wakil rakyat Melayu dalam kerajaan bagi mengurangkan jurang dengan kerusi bukan Melayu yang didominasi DAP.
“Ia baik untuk membina kekuatan politik Melayu itu sendiri, khususnya dalam PH kerana selama ini PPBM dan Amanah dilihat sebagai parti nyamuk sahaja berbanding PKR dan DAP.
“Bagaimanapun dari segi keanggotaan kabinet, PPBM dan Amanah banyak memegang jawatan penting. Ini akan memberikan kekuatan kepada PPBM dalam PH. Kemasukan bekas pemimpin dan wakil rakyat Umno ke dalam PPBM itu tidak dinafikan dapat mengurangkan jurang perbezaan kerusi antara PPBM dengan DAP.
“Dari sudut negatif, PPBM kelihatan seolah-olah menggunakan pendekatan tangkap muat atau borong untuk menguatkan parti tanpa memperdulikan sentimen penyokong dan komponen PH,” katanya.