Dr M pengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa pemandu MA63

Dr M pengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa pemandu MA63

Jawatankuasa pemandu itu akan bermesyuarat setiap 2 bulan dan mempunyai 6 bulan untuk menyerahkan laporan akhirnya.

Anggota jawatankuasa pemandu bagi menyemak semula MA63 bergambar di Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempengerusikan jawatankuasa pemandu bagi menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang julung kali diadakan, sebagai sebahagian usaha kerajaan persekutuan mengembalikan hak Sarawak dan Sabah di Malaysia.

Jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat setiap 2 bulan dan mempunyai 6 bulan mulai hari ini untuk menyerahkan laporan akhirnya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg turut hadir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata jawatankuasa itu meluluskan usul melantik ahli tambahan dari Sabah dan Sarawak untuk menganggotainya.

Mereka adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Gerawat Gala; Menteri Muda Undang-undang di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek), Sharifah Hasidah Sayeed Aman; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen serta bekas peguam besar Sabah, Datuk Stephen Foo.

Liew mengemukakan cadangan itu dan jawatankuasa terbabit turut mendengar taklimat ketua menteri Sabah serta Sarawak.

Antara cadangan dikemukakan ialah mengembalikan hak autonomi kerajaan Sabah dan Sarawak dalam perkara seperti kewangan; penerokaan minyak, perlombongan dan gas; perundangan; tanah dan hasil daripada tanah; maritim, penangkapan ikan muara dan perikanan; pekerja dan perkhidmatan awam negeri.

Tambahan, jawatankuasa itu turut membincangkan pindaan terhadap Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk kembali kepada fasal sebelum 1976.

Jawatankuasa itu akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan berkaitan pelaksanaan hak dan autonomi Sabah serta Sarawak.

Ia sejajar peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan perkara terkandung dalam “Bab III, Lampiran A dan B Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962”.

Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri menganjurkan satu siri mesyuarat penyelarasan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Mesyuarat itu bertujuan mendapatkan persetujuan awal berhubung senarai isu dan tuntutan kerajaan Sabah dan Sarawak berkaitan MA63.

Selain Liew, menteri Kabinet lain yang menghadiri mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Kerja Raya, Baru Bian; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Peguam Negara, Tommy Thomas; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong; Peguam Besar Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin dan rakan sejawatannya dari Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid serta pakar perlembagaan, Datuk Dr Shad Saleem Faruqi turut menghadiri mesyuarat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.