Dr M nafi persoal, hina institusi diraja

Dr M nafi persoal, hina institusi diraja

Bekas perdana menteri berkata, menjadi haknya untuk bercakap mengenai fakta yang diketahui umum.

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan cuba mempersoal atau menghina institusi diraja.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad menafikan cuba mempersoal atau menghina institusi diraja, sebaliknya hanya bercerita mengenai kisah diraja yang pernah berlaku sebelum ini.

Bekas perdana menteri itu berkata, adalah menjadi haknya untuk bercakap mengenai fakta yang diketahui umum.

“Saya kaitkan apa yang sudah berlaku, semua orang tahu, takkan saya tidak boleh bercakap,” katanya lapor Harian Metro.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas status siasatan yang dilancarkan polis terhadapnya baru-baru ini.

Minggu lalu, polis merekodkan kenyataan Mahathir kerana didakwa menghina institusi diraja.

Malaysiakini melaporkan bahawa siasatan itu berkaitan dengan video beliau didakwa membuat kenyataan bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi mereka.

Mahathir juga mendakwa bahawa Raja-raja Melayu telah “menyerahkan negeri mereka”, semasa zaman penjajahan British, untuk kekal berkuasa dan untuk gelaran “raja”.

Mahathir disoal siasat oleh polis di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas dakwaan “aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.”

Mahathir juga sedang disiasat berhubung Proklamasi Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.