
“Kalau telah dilantik presiden, saya menerima mandat dan tanggungjawab ini. Saya tak nak jawab benda yang kecil-kecil ini. Bagi saya perkara ini remeh-temeh. Yang penting kita nak lihat masa depan parti itu sahaja,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Semalam, Latheefa mempertikaikan pelantikan Supardi sebagai pengerusi PKR Kelantan kerana baru meninggalkan Umno dan mendakwa Supardi pernah digantung tugas dalam Umno disebabkan tuduhan politik wang.
Supardi pernah memegang jawatan ketua penerangan Umno Kelantan.
Sementara itu, Supardi yang juga ketua PKR Bahagian Tanah Merah mendakwa ada pihak cuba menggulingkannya menerusi akaun bersumpah dan aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang mendakwa majoriti ahli jawatankuasa dan ahli bahagian itu hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

“Mereka nak buat aduan mengatakan saya ini hilang kepercayaan 2/3 jawatankuasa. Macam mana nak cakap 2/3? Saya tak buat pelantikan pun lagi?
“Mereka ini cuba nak menjatuhkan maruah saya,” katanya.
Surat yang dilihat FMT bertarikh 16 Disember lalu itu mendakwa majoriti ahli jawatankuasa yang menang dalam pemilihan parti baru-baru ini bersama ahli bahagian itu membuat akaun bersumpah hilang kepercayaan terhadap Supardi dan Timbalannya, Mohd Hanuzi Zaharim.
Surat itu ditandatangani Setiausaha PKR Bahagian Tanah Merah, Mohd Iswadi Ismail dan disahkan Naib Ketua bahagiannya, Ali Lizon Isa.
Iswadi dipetik Malaysiakini hari ini mendakwa Supardi masih ialah ahli Umno dan digantung parti itu kerana amalan politik wang.
Latheefa turut mendakwa Supardi terbabit dalam politik wang pada 2013, tetapi Supardi memberi alasan partinya ketika itu, Umno tidak pernah mengeluarkan sebarang surat amaran kepadanya berhubung perkara itu.
Katanya, beliau bukan lagi ahli Umno selepas menyertai PKR April lalu.
“Saya tak aktif politik sepanjang tahun itu sampai 2016 sehingga saya bersama Pakatan Harapan.
“Ramai yang tak buat surat pun untuk keluar parti. Automatik keluar parti, pertama, bila anda sudah tak aktif dan kedua, anda sudah isi keahlian (parti) lain.
“Saya masuk PKR dan mengisi borang PKR pada 18 April lalu sebelum pilihan raya umum.”