3 kementerian belum ada taska, kata Hannah

3 kementerian belum ada taska, kata Hannah

Kementerian itu ialah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli; Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menggalakkan sektor swasta mewujudkan taska di tempat kerja.
KUALA LUMPUR:
Tiga kementerian masih belum mewujudkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di premis masing-masing, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata 3 kementerian tersebut adalah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli; Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Melalui peruntukan bajet 2019, kementerian diberi tanggungjawab menguruskan peruntukan RM10 juta yang disediakan kepada 50 buah taska di bangunan kerajaan bagi menggalakkan penubuhannya di tempat kerja sektor awam.

“Dengan peruntukan ini, taska di tempat kerja akan bertambah seterusnya meningkatkan kapasiti kanak-kanak di taska di tempat kerja yang boleh mengurangkan kerisauan ibu bapa tentang keselamatan anak masing-masing,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Muhamad Mustafa yang ingin tahu apakah usaha kerajaan dalam menyelesaikan dilema ibu bekerja yang menghadapi masalah untuk menghantar anak ke pusat asuhan yang selamat.

Yeoh berkata kementerian melaksanakan beberapa langkah dan inisiatif bagi menggalakkan majikan menyediakan taska di tempat kerja sektor awam dan swasta.

Selain itu, katanya kementerian turut menggalakkan sektor swasta mewujudkan taska di tempat kerja bagi memberi peluang kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang bekerja berhampiran untuk menghantar anak ke taska tersebut.

Beliau berkata kementerian juga sedang berbincang dengan syarikat utiliti untuk mengurangkan kadar tarif bagi kos operasi taska.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.