
Dia hadapi 4 tuduhan bawah Seksyen 370 (c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan kerana bersubahat dalam kesalahan yang didakwa dilakukan banknya, iaitu tidak memasukkan fakta material mengenai ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa, Low Taek Jho, yang dikatakan pengendali dan perantara utama untuk 1MDB.
Bank di mana Ng pernah berkhidmat itu juga didakwa menyembunyikan maklumat di mana 1MDB taja jamin semua amaun berkaitan kos, perbelanjaan dan kerosakan yang ditanggung International Petroleum Investment Company (IPIC) dalam perjanjian bertarikh 21 Mei 2012.
Bon yang bekas syarikat Ng cuba kumpulkan bernilai AS$6.5 bilion. Kesalahan itu didakwa berlaku pada 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.
Sekiranya didapati bersalah, Ng boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM1 juta.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail membenarkan jamin RM1 juta dengan 2 penjamin dan memerintah Ng menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguamnya, Tan Hock Chuan memberitahu pemberita, anak guamnya tidak akan dibebaskan hari ini kerana menjalani tempoh reman 60 hari berhubung kes ekstradisi.
Sebutan kes seterusnya ditetapkan pada 18 Mac 2019.
Awal hari ini, Mahkamah Sesyen lain menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan kes ekstradisi Ng.
Kerajaan mahu menghantar Ng balik ke Amerika Syarikat (AS) atas permintaan Washington.
Ng ditahan reman selama 60 hari bermula 1 November lalu. Minggu lepas, dia gagal mendapat jaminan daripada Mahkamah Tinggi untuk dibebaskan sementara menunggu usaha kerajaan menghantarnya ke AS.
Ng seorang daripada 3 ahli dan bekas ahli bank yang diimplikasikan oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ) sebagai mengambil bahagian atau mempunyai pengetahuan tentang apa yang disebut DoJ sebagai “multiyear criminal enterprise”.
Ng merupakan timbalan kepada bekas pengerusi Goldman di Asia Tenggara, Tim Leissner, yang mengaku salah atas peranannya dalam skandal tersebut.
Goldman Sachs mengatur tawaran bon yang membantu 1MDB mengumpul lebih daripada AS$6 juta. Menurut pihak berkuasa antarabangsa, kebanyakannya dimasukkan ke akaun peribadi dan digunakan untuk membeli kapal, lukisan, dan hartanah bernilai tinggi.