Ketua pegawai operasi Tabung Haji direman 4 hari

Ketua pegawai operasi Tabung Haji direman 4 hari

Adi Azuan Abdul Ghani ditahan bagi membantu siasatan SPRM ke atas dakwaan rasuah.

Adi Azuan Abdul Ghani dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk mendapatkan perintah reman.
PUTRAJAYA:
Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani direman 4 hari bagi membantu siasatan ke atas dakwaan rasuah.

Majistret, Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman itu di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatannya.

Peguam, Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Adi berkata, anak guamnya disiasat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 atas dakwaan menerima rasuah daripada seorang ejen.

SPRM memohon perintah reman 7 hari, tetapi Shaharudin merayu 3 hari.

“Ada kemungkinan reman dilanjutkan apabila anak guam saya dibawa ke depan majistret pada Ahad,” katanya kepada wartawan.

Penyiasat boleh diberikan tempoh sehingga 14 hari untuk menahan suspek bagi melengkapkan siasatan mereka.

Shaharudin berkata, Adi ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 3 petang semalam, selepas disoal siasat pegawai agensi anti-rasuah itu.

Difahamkan, penahanannya berkaitan siasatan SPRM ke atas penggunaan syarikat kontraktor penghias dalaman TH untuk membina almari di rumahnya.

Polis turut menyiasat TH atas dakwaan penyelewengan dana.

Bulan lalu, TH dilaporkan membuat 2 laporan polis terhadap bekas pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bersama 2 bekas ketua pegawai eksekutifnya, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah, serta beberapa pegawai pengurusan kanannya.

Antara pegawai itu adalah Adi, Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar, penasihat undang-undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah TH, Rifina Md Ariff.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.