
Menurut sumber SPRM, suspek yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja untuk kepentingan peribadi, dilepaskan pada Jumaat dan Sabtu lalu.
“Pada 11 Feb lalu, mereka ditahan reman selama lima hari hingga hari ini. Bagaimanapun, mereka dilepaskan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan selepas proses rakaman percakapan selesai dijalankan.
“SPRM kini sedang melengkapkan siasatan untuk diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Mereka juga dipercayai mengemukakan tuntutan dan dokumen mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Jan hingga 4 Feb tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Beliau berkata, seramai 18 saksi dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Tambahnya, SPRM turut menyita beberapa barangan berharga termasuk pakaian, gajet, barangan elektronik dan peralatan sukan dengan nilai keseluruhan dianggarkan kira-kira RM57,000.