
Panglima Angkatan Tentera Malek Razak Sulaiman berkata, tempoh itu melibatkan jawatan yang terdedah risiko seperti dalam bidang perolehan.
Hal ini kerana kedudukan terlalu lama dalam sesuatu posisi boleh menimbulkan konflik kepentingan dan salah guna kuasa, tambahnya.
“Kita tidak mahu seseorang terlalu lama berada di satu posisi sehingga wujud ‘little Napoleon’ atau konflik kepentingan peribadi yang boleh menjejaskan organisasi,” katanya pada sidang media di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, lapor Bernama.
“Had asas ialah 18 bulan, tertakluk pada penilaian keberkesanan kerja. Sekiranya semak dan imbang serta audit mendapati pegawai tersebut berintegriti dan berprestasi baik, tempoh boleh dilanjutkan, namun sekurang-kurangnya selepas 18 bulan, perlu disemak semula kedudukan tersebut.”
Beliau berkata, garis panduan itu ialah mekanisme dalaman bagi memastikan sistem semak dan imbang berfungsi secara berkesan serta mengurangkan ruang penyalahgunaan kuasa dalam organisasi.
Mengenai pengisytiharan harta, Malek berkata, kewajipan itu melibatkan semua peringkat pemerintahan dan pegawai utama yang mengendalikan pengurusan kewangan serta perkara berkaitan.
“Perkara ini telah lama dilaksanakan, namun sebahagiannya mungkin tidak dikemas kini,” katanya.
“Jadi ia perlu diperbaharui berdasarkan kedudukan semasa pegawai berkenaan, mana-mana yang belum mengisytiharkan harta, perlu berbuat demikian.”
Beliau menambah, kekerapan pengisytiharan harta akan diperincikan berdasarkan garis panduan Inspektorat yang berpandukan peraturan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, beberapa format dan mekanisme pelaksanaan perlu dikemas kini terlebih dahulu sebelum arahan dalaman dikeluarkan bagi menetapkan tempoh serta tatacara terperinci.
Dalam pada itu, Malek turut mengumumkan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) melapor terus kepada beliau bagi memperkukuh aspek akhlak dan kerohanian sebagai asas pembinaan sahsiah warga tentera.
Beliau berkata, keseluruhan pendekatan itu bertujuan memastikan angkatan tentera bukan sahaja mampu menangani cabaran semasa, malah bersedia menghadapi masa hadapan di bawah kerangka Angkatan Masa Hadapan demi mempertahankan kedaulatan negara.