
Presidennya, Ezri Abdul Wahab berkata, walaupun badan profesional itu tidak mengambil pendirian berhubung merit mana-mana dakwaan, ia menegaskan bahawa persoalan fakta perlu ditentukan melalui proses undang-undang yang sewajarnya, dan berasaskan keterangan.
“Sebarang semakan atau siasatan mestilah terbukti bebas daripada pengaruh eksekutif atau politik.
“Keyakinan awam tidak boleh bersandar pada jaminan semata-mata. Ia mesti bersandar pada proses,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, standard akauntabiliti tidak seharusnya berubah mengikut kedudukan politik, dan integriti institusi mesti dipelihara, khususnya pada saat-saat getir.
Satu pasukan petugas khas tiga anggota telah dibentuk untuk menyiasat dakwaan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, yang dilaporkan melebihi had yang ditetapkan bagi penjawat awam.
Panel itu dipengerusikan oleh Peguam Negara Dusuki Mokhtar, dengan dua ahli lain iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Ezri berkata skop siasatan, standard undang-undang yang diguna pakai serta penemuan hendaklah disampaikan kepada rakyat secara jelas dan mudah difahami.
“Sebarang kesimpulan tanpa huraian yang memadai tidak akan menghapuskan keraguan,” katanya sambil memberi amaran, ketidakpastian yang berlarutan akan menjejaskan kredibiliti institusi.
Beliau juga berkata, semua penjawat awam tanpa mengira kedudukan mesti tertakluk kepada piawaian undang-undang dan etika yang sama, kerana persepsi layanan tidak adil sahaja sudah cukup merosakkan seperti penyelewengan yang sebenar.
Beberapa pihak telah meluahkan kebimbangan berhubung komposisi ahli pasukan petugas itu, dengan kumpulan G25 yang terdiri daripada bekas penjawat awam kanan berpandangan Dusuki tidak wajar menjadi pengerusi.
Mereka berpendapat pelantikan itu boleh menimbulkan persepsi wujudnya konflik kepentingan institusi, memandangkan beliau penasihat undang-undang utama kerajaan dan pihak berkuasa yang menyelia pendakwaan.
Ahli Parlimen PKR Wong Chen pula mencadangkan panel diperluas menjadi lima ahli, termasuk bekas ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat dan seorang wakil masyarakat sivil.
G25 dan Ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh turut menggesa Azam dicutikan sementara siasatan selesai, namun cadangan itu ditolak Azam yang menyatakan individu lain kekal bertugas ketika disiasat.