Jangan umum harga minyak pada Rabu, Najib beritahu Guan Eng

Jangan umum harga minyak pada Rabu, Najib beritahu Guan Eng

Bekas perdana menteri berkata Pakatan Harapan akan dilihat meniru Barisan Nasional.

PETALING JAYA:
Datuk Seri Najib Razak secara berseloroh berpesan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng supaya tidak mengumumkan harga minyak pada setiap Rabu seperti yang dilakukan kerajaan sebelum ini, jika tidak mahu dituduh meniru Barisan Nasional.

“Nanti ada orang kata ‘copy-paste’ BN. Umum pada Selasa atau Khamis,” katanya di Facebook.

Semalam, Lim mengumumkan harga runcit produk petroleum, termasuk RON95, dijangka turun mulai 1 Januari ini sekiranya trend penurunan harga minyak dunia berterusan. Ini berikutan kaedah penetapan harga secara bulanan akan digantikan dengan penetapan harga secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia mengalami penurunan.

Kerajaan berkata ini membolehkan pengguna menikmati perubahan harga lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.

Bekas perdana menteri bagaimanapun menyorot perhatian kepada kenyataan pegawai khas Lim, Tony Pua, tentang keadah apungan terkawal bagi penetapan harga petrol dalam laporan Roketkini bertarikh 8 Disember 2014.

Dalam laporan itu, Tony tertanya apakah langkah kerajaan melaksana kaedah apungan terkawal bagi penetapan harga petrol RON95 dan diesel bertujuan memungut cukai secara tersembunyi untuk menampung defisit bajet, katanya.

Menurut Najib, Tony berkata mengenakan cukai tersembunyi ke atas minyak adalah tidak beretika dan “lebih tak masuk akal berbanding GST”, kerana rakyat tidak tahu berapa banyak cukai yang dikenakan ke atas mereka, dan kadar cukai boleh berubah dari hari ke hari, minggu ke minggu.

“Baca. Jangan tak baca,” kata Najib. “Lencun. Oh, lencun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.