Apabila kenyataan ‘dakwah’ Maszlee disalah erti

Menteri Pendidikan Maszlee Malik kembali menjadi “medan perhatian” hujung tahun ini. Kali ini menjadi sasaran pemimpin gereja dan politik, terutama dari dari Sabah dan Sarawak. Dilihat terlalu lurus dalam membuat kenyataan menggunakan perkataan “medan menawarkan bakti” dan “medan dakwah” yang membawa kepada kritikan.

Polemik terbaru ini menunjukkan masyarakat kita semakin terbuka. Terbuka untuk membincangkan isu – yang kecil dan yang besar, yang tidak wajar dan yang wajar – menyentuh kepentingan kaum dan agama. Keterbukaan yang diraikan dalam semangat Malaysia yang baru. Syabas.

Tapi yang sedihnya kita membataskan diri kepada pemahaman dan pengertian yang sengaja dihadkan mengikut keperluan dan perspektif kita. Ini satu contoh sejauh mana pemimpin kita masih belum faham dengan menyeluruh pengertian satu-satu istilah, terma dan istilah dalam bahasa Melayu dengan baik. Di mana jika silap langkah, boleh membawa kepada gangguan keharmonian.

Melihat kepada Hanzard Dewan Rakyat 11 Disember 2018, Maszlee menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Kubang Kerian mengenai kekurangan guru agama di Sabah dan Sarawak, berkata “… jikalau boleh kita pujuk kepada ustaz dan ustazah dari Kelantan, Terengganu, Kedah yang mengajar di Sabah dan Sarawak agar kalau boleh buat sementara ini tidak pulang ke Semenanjung dan memilih Sabah dan Sarawak sebagai medan dakwah mereka dan juga medan mereka menaburkan bakti.”

Kita tidak ambil niat baik menteri pendidikan yang mahu memujuk guru terbabit tidak pulang ke Semenanjung sementara masalah kekurangan guru agama ditangani. Tetapi hanya mengambil sudut “medan dakwah”.

Saya pun berbual dengan beberapa kawan termasuk mereka dari Sawarak dan Sabah. Apakah yang cuba disampaikan oleh Maszlee? Adakah Maszlee minta guru agama berdakwah di luar konteks sekolah? Jawapan ada dalam Hanzard. Semua orang boleh faham.

Saya faham, dakwah kurikulum pendidikan Islam dan guru pendidikan kita adalah dalam konteks meningkatkan ilmu dan amali murid Islam terhadap tuntutan agama. Bukan dakwah kepada murid bukan Islam.

Dakwah dalam konteks beri ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan tuntutan fardu ain dan kifayah kepada anak-anak Islam. Dakwah hanya dalam konteks pendidikan Islam, bukan luar daripada itu.

Ramai pemimpin yang komen. Saya hargai komen Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah. Beliau yang tidak pasti yang dimaksudkan dengan “medan dakwah” oleh Maszlee dipetik sebagai berkata, guru agama Islam khasnya yang mengajar di Sarawak perlu menumpukan aspek pendidikan Islam kepada anak-anak beragama Islam tetapi bukan di luar konteks itu.

Kata Fatimah, isu yang berkaitan agama dan bangsa perlu ditangani secara lebih berhati-hati. “Jika ia (kenyataan itu) dari segi konteks bagi memastikan murid beragama Islam itu, kita boleh terima kerana tujuan pendidikan Islam untuk mendidik anak-anak beragama Islam dari aspek pengetahuan agama. Namun jika ia dalam konteks lain, ini mungkin sukar untuk diterima, disebabkan dalam negara kita, kita mengamalkan hormat dan menghormati agama antara satu sama lain.”

Komen Fatimah sekurang-kurangnya memberi gambaran sebenar dan meredakan situasi. Kita berharap ahli politik membantu memberi penjelasan yang seimbang bagi kekalkan keharmonian kaum dan agama.

Menjawab gelombang kritikan

Menjawab gelombang kritikan, Maszlee menegur mereka yang tidak memahami konsep dakwah yang dimaksudnya bagi guru agama di Sabah dan Sarawak. Maszlee menjelaskan “medan dakwah” yang disebut di Parlimen bersifat “mengajak kebaikan” bukannya “menukar agama”.

“Bila saya sebut pasal guru yang mengajar di Sabah dan Sarawak sebagai ‘medan dakwah’, ada yang terus fikir pasal tukar agama. Itu pemahaman yang sempit,” kata beliau.

“Jadikan orang (pelajar) bijak itu pun dakwah, apabila saya timbulkan di Parlimen mereka di Sabah Sarawak bising. Kata saya, gunakan sekolah untuk berdakwah. Saya mahu betulkan mengajar kepada kebaikan itu dakwah.”

Sejak mengepalai Kementerian Pendidikan, kita tahu Maszlee mendukung “tagline” 3 nilai iaitu kegembiraan, kasih sayang dan hormat-menghormati. Mustahil beliau akan meminta guru agama berdakwah di luar konteks sekolah. Dan, ia juga tidak wajar.

Kita perlu memberi manfaat keraguan kepada Maszlee. Maszlee tidak pun mengatakan guru agama yang dihantar ke Sabah dan Sarawak perlu menyebarkan agama Islam. Maszlee wajar dikritik sekiranya berkata demikian.

Atau guru terbabit wajar diambil tindakan sekiranya berbuat demikian di mana ia bertentangan dengan skop tugas mereka sebagai guru.

Selaku menteri pendidikan yang seringkali ke Sabah dan Sarawak saya pasti Maszlee tidak berniat untuk buat kenyataan yang menyinggung perasaan rakyat negeri itu. Maszlee beritahu komitmen beliau untuk melihat sendiri isu sekolah daif diatasi.

Saya berharap mereka yang mengkritik akan bersikap terbuka. Memahami maksud sesuatu perkara dalam konteks yang luas. Tidak mengambil dalam skop kecil mengikut kesesuaian “medan” kita berada. Konteks penggunaan istilah medan oleh Maszlee dan kenyataan Fatimah nampak jelas. Ada banyak perkataan dalam bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa yang boleh diertikan dalam konteks yang berbeza atau dalam “medan” yang berbeza.

Di sini saya nampak salah tafsir konteks sehingga membawa kepada perasaan tidak menyenangkan.

Bacaan dan carian menunjukkan pengertian dakwah dari segi bahasa berasal dari kata Arab seperti “da’a”, “yad’u”, “da’watan” yang membawa maksud menyeru, memanggil, mengajak, menjamu, memandu dan menjemput. Manakala maksud dakwah dari segi istilah pula ialah mendorong manusia agar berbuat kebajikan dan petunjuk.

Ada yang mengatakan “menyuruh mereka berbuat yang maaruf dan mencegah mereka daripada melakukan perbuatan mungkar, agar mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.”

Dalam erti kata lain pula, dakwah adalah mengajak umat manusia dengan hikmah dan kebijaksanaan untuk mengikuti petunjuk Allah dan RasulNya.

Sekali lagi ia berkaitan dengan ajaran Islam atau subjek mata pelajaran Islam. Maksud dakwah secara umum, ialah satu ilmu pengetahuan yang berisi kaedah dan tuntunan bagaimana cara sebaiknya untuk pendakwah itu menarik perhatian atau minat seseorang untuk menganut, menyetujui dan melaksanakan suatu ideologi tertentu.

Malah dalam konteks ini kita wajar menyelami karya Munsyi Abdullah – “Bapa Kesusasteraaan Melayu Moden” untuk membezakan dakwah dalam sudut yang berbeza. Dakwah tidak semestinya menukar agama seseorang.

Semoga 2019 akan menjadi medan keharmonian yang lebih membina bagi rakyat Malaysia.

Adam Fazery adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.