
James Chin dari Universiti Tasmania berkata DAP mempamerkan daya tahan walaupun berdepan dominasi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Walaupun GPS sangat kuat, DAP masih berjaya memenangi dua kerusi pada PRN lalu,” katanya kepada FMT.
Chin berkata tiada parti pembangkang lain pada masa ini yang mempunyai kekuatan atau kredibiliti untuk menggantikan DAP di DUN Sarawak.

“Hanya ada satu lagi parti pembangkang yang berdaya maju iaitu Parti Bumi Kenyalang, tetapi kebanyakan calonnya tidak mempunyai kredibiliti. Dalam pilihan raya lalu, semua calon mereka hilang deposit,” katanya.
Chin berkata Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang dipimpin oleh Larry Sng, tidak boleh dianggap sebagai parti pembangkang biasa.
“PBM sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan. Di peringkat negeri, ya, ia dilihat sebagai parti pembangkang, tetapi ia hanyalah pembangkang pada nama sahaja. Jika PBM menang, mereka akan menyokong GPS,” katanya.
Chin seterusnya menolak perbandingan dengan Sabah, menyatakan kedua-dua negeri mempunyai dinamik politik yang sangat berbeza.
“Perbezaan utama adalah, parti-parti kecil mempunyai kerusi di DUN Sabah. Di Sarawak, selain GPS, hanya DAP yang mempunyai kerusi, jadi ia bukan perbandingan yang adil,” katanya.
Chin mengulas kenyataan Timbalan Premier Sarawak Sim Kui Hian bahawa Sabah menunjukkan pembangkang boleh wujud tanpa DAP, sambil mengulangi gesaan agar parti itu dilenyapkan pada PRN akan datang.
DAP sebelum ini menunjukkan prestasi cemerlang di Sarawak dengan memenangi 12 kerusi pada 2011, namun sokongan terhadapnya merosot dengan ketara sejak itu.
Ia kini menduduki dua kerusi dalam DUN yang mempunyai 82 kerusi — Pending (Violet Yong) dan Padungan (Chong Chieng Jen) — manakala GPS menguasai baki 80 kerusi.
Parti itu menyasarkan sehingga 18 kerusi dalam PRN Sarawak akan datang, dijadualkan menjelang pertengahan 2027, bagi memperkukuhkan semak dan imbang.
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata PKR boleh muncul sebagai alternatif jika ia memperkukuhkan keberadaannya di Sarawak.

Tambah beliau, PKR perlu meluaskan daya tarikan merentasi pelbagai komuniti untuk menjadi pencabar yang berwibawa.
“PKR mempunyai jenama pelbagai kaum yang lebih luas berbanding parti-parti kecil, tetapi untuk menggantikan DAP secara bermakna, ia mesti menarik lebih ramai pengundi Cina bandar serta pengundi Bumiputera separa bandar dan luar bandar, bukan hanya bergantung kepada sentimen nasional,” katanya.
Awang Azman berkata pengundi Sarawak secara amnya lebih mengutamakan parti yang berorientasikan kestabilan, bermakna undi pembangkang boleh berpecah jika DAP dilemahkan.
“Jika DAP kehilangan sokongan, sebahagian undi Cina bandar mungkin beralih kepada GPS–SUPP jika kestabilan dan pembangunan diutamakan, manakala undi protes boleh pergi kepada PKR jika ia membawakan calon dan naratif yang kuat,” katanya.